RANAU:Rakyat Sabah diseru memilih kerajaan yang mampu menjamin masa depan generasi muda dan memastikan kesinambungan pembangunan negeri, kata Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan itu berkata, keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17 akan menentukan hala tuju negeri dalam menghadapi persaingan ekonomi dan sosial yang semakin mencabar.
“Dunia hari ini sangat kompetitif. Keputusan politik bukan sekadar memilih parti atau calon, tetapi memilih masa depan anak-anak kita.
“Saya melihat ramai calon pembangkang tidak menyentuh langsung isu masa depan generasi muda. Sedangkan perkara inilah yang paling penting dalam menentukan hala tuju Sabah,” katanya selepas Program Mandat Calon GRS di Pentas Budaya, di sini, baru-baru ini.
Masidi berkata kerajaan GRS telah membuktikan komitmen terhadap pembangunan modal insan melalui pelbagai inisiatif, termasuk pengumuman pendidikan percuma kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri seperti Universiti Kolej Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).
“Ini adalah langkah besar. Pendidikan percuma kepada anak-anak Sabah membuktikan kesungguhan GRS untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan yang mampu mentadbir dan mengurus negeri dengan identiti serta kebolehan sendiri,” katanya.
Beliau turut menyeru golongan muda agar tidak melepaskan peluang untuk membuat pilihan yang tepat demi masa depan mereka.
“Pengundi muda perlu keluar mengundi dan terlibat dalam proses politik kerana masa depan Sabah berada di tangan mereka,” katanya.
Pada PRU DU kali ini, Masidi berdepan pertandingan tujuh penjuru menentang Georgina L. George (Upko), Karim Adam (KDM), Nadzimin Kamin (BN), Mohd Anuar Abd Ghani (Star), Mukinin @ Mazlan Daiman (Warisan) dan Naomi @ Neomi Francis (Bebas).
— TAMAT

