Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Lo mahu Pesta Kaamatan dipromosi ke persada dunia

ADAT: Lo bersama Dino Nurwahyudin melaksanakan simbolik menuai tujuh batang padi sempena Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tawau 2026.

TAWAU: Pesta Kaamatan bukan sekadar sambutan kebudayaan tahunan, malah perlu diperluaskan ke peringkat antarabangsa bagi memperkenalkan keunikan budaya Sabah kepada masyarakat dunia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata, penganjuran Pesta Kaamatan turut memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan dan memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Menurut beliau, kepelbagaian agama, budaya dan bangsa yang wujud di Sabah merupakan kekuatan utama yang perlu terus dipelihara dan dipromosikan.

SIMBOLIK: Lo memalu gong sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tawau 2026 pada Ahad.

“Pesta Kaamatan bukan hanya sekadar persembahan budaya, tetapi mencerminkan identiti Sabah yang hidup dalam kepelbagaian.

“Ia juga menjadi antara usaha penting untuk mempertahankan keharmonian dan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tawau 2026 pada Ahad.

Turut hadir, Pemangku Ketua Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Dino Nurwahyudin.

Lo yang juga Ahli Parlimen Tawau berkata, sambutan Kaamatan wajar diperkasakan dan dinaik taraf ke peringkat lebih tinggi termasuk bertaraf antarabangsa bagi memperluas pendedahan budaya Sabah di persada global.

Katanya, langkah itu bukan sahaja mampu mengangkat imej Tawau sebagai destinasi pelancongan budaya, malah berpotensi menarik lebih ramai pelancong asing serta penyertaan golongan muda dalam aktiviti kebudayaan.

“Jika penganjuran ini diperluaskan ke peringkat antarabangsa, ia bukan sahaja dapat memartabatkan budaya tempatan, tetapi turut menarik minat generasi muda untuk terus terlibat dalam usaha memelihara warisan budaya kita.

“Tanpa penglibatan belia, agak sukar untuk memastikan kesinambungan pesta seperti ini pada masa depan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tawau 2026 yang berlangsung meriah dan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat pelbagai kaum.

Pelbagai pengisian diadakan sepanjang sambutan berkenaan termasuk persembahan kebudayaan, pertandingan tradisional, pameran agensi serta penyertaan komuniti setempat yang menyerlahkan keunikan budaya masyarakat Sabah.

Exit mobile version