KOTA KINABALU: Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat bercadang untuk memperluaskan pewujudan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di semua pejabat kerajaan negeri.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Julita Majungki berkata, cadangan berkenaan sedang dalam proses menyediakan standard prosedur dan peraturan untuk tujuan pelaksanaannya.
Menurutnya, kerajaan negeri prihatin dengan cabaran dihadapi oleh ibu bapa yang bekerja untuk mendapatkan kemudahan penjagaan anak yang mematuhi piawaian keselamatan premis dan berkualiti.
“Sehubungan itu, kementerian saya melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) menyediakan sebuah TASKA di bangunan Wisma Wanita yang memanfaatkan ibu bapa dalam kalangan penjawat awam dari jabatan berdekatan.
“Begitu juga dengan Menara Kinabalu, Bangunan Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kompleks Yayasan Sabah,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Shah Alfie Yahya Ahmad Shah (GRS-Tanjung Keramat) mengenai inisiatif menyediakan TASKA atau pusat asuhan sementara bagi meringankan beban ibu bapa yang bekerja.
Dalam pada itu Julita berkata, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) turut menyediakan TASKA Perpaduan iaitu program asuhan dan didikan awal kanak-kanak. Menurutnya, terdapat dua TASKA Perpaduan kendalian JPNIN di Sabah iaitu TASKA Perpaduan Nosoob Baru di Penampang dan TASKA Perpaduan Goshen di Kota Marudu.

