TAWAU:Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, mencadangkan penambahan dua kawasan Parlimen baharu di Tawau susulan peningkatan ketara jumlah pengundi di kawasan berkenaan.
Beliau berkata jumlah pengundi yang kini melebihi 80,000 orang menunjukkan keperluan mendesak untuk menilai semula struktur pembahagian kawasan sedia ada bagi memastikan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menurutnya, pertambahan jumlah pengundi bukan sahaja meningkatkan beban tugas wakil rakyat dari segi liputan kawasan, malah menjejaskan keupayaan untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Cadangan mewujudkan dua Parlimen baharu di Tawau adalah antara langkah yang wajar dipertimbangkan bagi memastikan setiap kawasan mendapat perhatian lebih seimbang dan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, pada Isnin.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata secara ideal, satu kawasan Parlimen seharusnya melibatkan sekitar 40,000 hingga 50,000 pengundi bagi memperkukuh hubungan antara wakil rakyat dan masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang penstrukturan semula kawasan pilihan raya perlu mengambil kira faktor demografi, kepadatan penduduk serta keperluan pembangunan setempat agar selari dengan aspirasi kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, katanya, cadangan berkenaan perlu melalui saluran rasmi termasuk penelitian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta kelulusan di peringkat Persekutuan.
Terdahulu, lebih 6,000 masyarakat pelbagai kaum hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.
–TAMAT
