LDP tolak tuntutan Sabah, fokus isu sebenar rakyat

KOTA KINABALU:Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Sim Fui, membidas gesaan seorang senator Filipina yang mahu menghidupkan semula tuntutan ke atas Sabah, dengan menegaskan perkara itu jauh tersasar daripada realiti sebenar di negeri ini.

Beliau berkata kenyataan melibatkan Robin Padilla yang menggesa Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., menghidupkan semula tuntutan tersebut tidak mencerminkan keadaan sebenar yang dihadapi rakyat Sabah.

“Bagi kami di Sabah, ini bukan isu abstrak atau bahan tawar-menawar. Ini tanah air kami. Generasi demi generasi membesar sebagai rakyat Malaysia, membina kehidupan dan masa depan di sini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, isu yang lebih mendesak ketika ini bukanlah tuntutan sejarah, sebaliknya masalah berpanjangan melibatkan penduduk tanpa dokumen dan tanpa kewarganegaraan di Sabah.

Katanya, keadaan itu telah lama berlarutan dan memberi kesan besar kepada rakyat tempatan, termasuk tekanan terhadap perkhidmatan awam seperti pendidikan dan kesihatan, selain cabaran keselamatan serta isu dokumentasi.

“Malah, terdapat keluarga yang hidup dalam ketidakpastian tanpa identiti atau hak yang jelas. Ini adalah masalah sebenar yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Sim berkata, sekiranya benar wujud keprihatinan daripada pihak Filipina, keutamaan seharusnya diberikan kepada usaha menyelesaikan isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

Beliau mencadangkan agar kerjasama dua hala diperkukuh, termasuk dalam aspek dokumentasi sah, penyelesaian berperikemanusiaan bagi komuniti tanpa kerakyatan serta usaha rentas sempadan yang lebih berkesan.

“Tindakan menghidupkan semula tuntutan Sabah atas alasan sumber minyak bukan sahaja tidak membantu, malah berpotensi menjejaskan hubungan diplomatik dan kestabilan serantau. “Rakyat Sabah tidak memerlukan retorik, sebaliknya mahukan penyelesaian. Hormati realiti kami, hormati tanah air kami,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles