Site icon Gabungan Rakyat Sabah

LDP sedia tawar khidmat, mahu kembali bertanding di Sandakan

PENGHARGAAN: Naib Presiden LDP merangkap Pengerusi Bahagian Tanjong Papat dan Elopura, Chong Thien Ming (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Presiden LDP, Datuk Chin Shu Phin, sempena Mesyuarat Agung Tahunan bersama LDP Bahagian Tanjong Papat, Elopura, Sekong dan Sungai Sibuga di Sandakan.

SANDAKAN:Parti Liberal Demokratik (LDP) menyatakan hasrat untuk kembali bertanding di kerusi Parlimen Sandakan pada pilihan raya umum akan datang, dengan mengetengahkan pengalaman serta rekod perkhidmatannya di kawasan berkenaan.

Naib Presiden LDP merangkap Pengerusi Bahagian Tanjong Papat dan Elopura, Chong Thien Ming, berkata parti itu berharap diberi peluang sekali lagi untuk menawarkan khidmat kepada rakyat Sandakan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bersama LDP Bahagian Tanjong Papat, Elopura, Sekong dan Sungai Sibuga, baru-baru ini.

Mesyuarat yang berlangsung di pejabat LDP di sini dihadiri kira-kira 150 ahli. Turut hadir Presiden LDP, Datuk Chin Shu Phin selaku tetamu kehormat; Naib Presiden LDP, Sim Fui; Setiausaha Agung, Datuk Chin Shu Yin; serta barisan kepimpinan parti.

Chong berkata, setiap pengundi mempunyai hak untuk memilih wakil yang diyakini mampu memberikan perkhidmatan terbaik serta memperjuangkan kepentingan masyarakat.

Menurutnya, LDP mempunyai sejarah tersendiri di Sandakan selepas pernah memenangi kerusi Parlimen berkenaan sebanyak dua kali, sekali gus menunjukkan parti itu pernah mendapat kepercayaan pengundi tempatan.

“LDP telah berkhidmat kepada rakyat Sandakan selama beberapa dekad. Kami tidak pernah meninggalkan Sandakan, sebaliknya terus berada di lapangan, menjalankan kerja akar umbi dan kekal berhubung dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya pengundi Sandakan mempertimbangkan untuk memberi peluang sekali lagi kepada LDP berdasarkan pengalaman, rekod perkhidmatan serta pemahaman parti terhadap isu dan keperluan masyarakat setempat.

“Sekiranya LDP diberi peluang bertanding di kerusi Parlimen Sandakan, kami bersedia berusaha menghidupkan semula ekonomi tempatan, meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk generasi muda,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi LDP Bahagian Sekong, Liow Ket Hiung, berkata Sandakan memerlukan kepimpinan tempatan yang kukuh bagi menangani pelbagai isu asas yang telah lama menjadi perhatian rakyat, khususnya membabitkan bekalan air, elektrik dan keadaan jalan raya.

Beliau berkata, LDP bersedia memainkan peranan dalam membantu menangani isu berkenaan dan berharap pengundi Sandakan memberikan pertimbangan sewajarnya kepada parti itu sekiranya bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi LDP Bahagian Sungai Sibuga, Lam Jin Dak, pula merakamkan penghargaan kepada Presiden parti atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk berkhidmat kepada masyarakat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Sandakan.

Beliau turut berikrar untuk terus membantu menangani aduan dan permasalahan penduduk, selain memastikan suara masyarakat setempat mendapat perhatian sewajarnya.

Menurutnya, LDP akan terus memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi dan berusaha membina keyakinan rakyat menerusi khidmat serta pendekatan berterusan kepada masyarakat.

Exit mobile version