KOTA KINABALU:Lawatan kerja ke hospital merupakan pendekatan penting kerajaan bagi meninjau secara langsung cabaran yang dihadapi institusi kesihatan, termasuk aspek keselesaan pesakit dan kebajikan petugas.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki, berkata lawatan sedemikian membolehkan kerajaan menilai keperluan sebenar di lapangan serta memastikan perkhidmatan kesihatan di Sabah terus dipertingkatkan.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) bagi meninjau kualiti fasiliti dan operasi hospital berkenaan, di sini, hari ini.
Menurutnya, lawatan itu merupakan sebahagian daripada siri tinjauan ke hospital-hospital di Sabah, selepas lawatan terdahulu ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.
“Tujuan lawatan ini adalah untuk menilai secara langsung operasi hospital serta memahami keperluan pesakit dan petugas.
“Daripada 24 hospital di Sabah, ini merupakan hospital kedua yang saya lawati bersama pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Julita berkata, beberapa isu dikenal pasti memerlukan perhatian segera melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan, termasuk kemudahan tempat letak kereta yang memberi kesan kepada pesakit serta kakitangan hospital.
“Melalui lawatan ini, kita dapat mengenal pasti keutamaan sebenar dan merangka tindakan susulan secara lebih berfokus,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa usaha menaik taraf Pusat Jantung Sabah di bangunan HQE II sedang berjalan dengan lancar.
Menurutnya, ruang sedia ada akan dinaik taraf bagi mewujudkan seksyen khas yang lebih moden dan lengkap untuk perkhidmatan kardiologi.
“Walaupun kerja fizikal belum memasuki fasa penuh, beberapa perancangan telah dibuat dan kini dalam proses pelaksanaan,” katanya. Turut hadir ialah Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal; Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Maria Chong; Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr William Gotulis; serta Pengarah HQE II, Dr Ferro Firdaus Ibrahim.

