KOTA KINABALU:Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan bekalan bahan api di Sabah kekal mencukupi dan stabil.
Perkara itu dimaklumkan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada isu bekalan bahan api di Sabah, khususnya petrol dan diesel, susulan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya kehabisan stok yang boleh menjejaskan pengguna serta kelangsungan sektor ekonomi negeri.
Menurut Armizan, pemantauan rapi serta penyelarasan berterusan bersama agensi berkaitan akan terus diperkukuh bagi mengelakkan sebarang gangguan bekalan, terutama di kawasan luar bandar dan sektor kritikal.
Sementara itu, Hajiji menegaskan kepentingan memastikan bekalan bahan api yang konsisten bagi menyokong aktiviti ekonomi negeri, termasuk sektor logistik, perikanan dan pertanian yang banyak bergantung kepada penggunaan diesel.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohd Salim Fateh Din, yang memberi taklimat mengenai kemajuan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah serta inisiatif Bandar Pintar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK Smart City).
Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib; Ahli SKMM, Jeneral (B) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin; serta pegawai kanan suruhanjaya berkenaan.

