Langkah baharu untuk masa depan Tanjung Aru – Hajiji ambil alih Pengerusi TAED

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development (TAED) dalam satu langkah yang disifatkan sebagai permulaan baharu bagi memastikan pembangunan Tanjung Aru dilaksanakan secara lebih terancang, mampan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Penyerahan jawatan itu dilakukan oleh bekas pengerusi, Pandikar Amin Mulia, dalam satu majlis ringkas di Menara Kinabalu di sini pada Selasa.

Turut hadir ialah beberapa pemimpin kanan pentadbiran negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, Peguam Besar Negeri Datuk Brenndon Keith Soh serta Setiausaha Tetap Kewangan Datuk Mohd Sofian Alfian Nair.

Dalam kenyataan menerusi Facebook, Hajiji berkata pengambilalihan tanggungjawab itu akan membolehkannya memantau secara lebih dekat hala tuju pembangunan Tanjung Aru agar selari dengan kesejahteraan rakyat dan pemeliharaan alam sekitar.

“Hari ini saya mengambil alih tanggungjawab sebagai Pengerusi TAED dan akan memastikan usaha pembangunan di Tanjung Aru dapat dijalankan secara terancang, mampan dan memberikan manfaat langsung kepada rakyat Sabah terutama sekali di bandar Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pandikar atas khidmat dan sumbangan sepanjang menerajui TAED sebelum ini.

Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri komited memastikan pembangunan Tanjung Aru terus bergerak seiring dengan agenda kelestarian alam sekitar demi kepentingan generasi akan datang.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles