Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Lampu jalan rosak, lokasi gelap antara fokus rondaan Shah Alfie di Tg Keramat

PUTATAN: Lampu jalan yang rosak dan beberapa lokasi yang memerlukan pemasangan lampu solar dikenal pasti antara isu utama hasil rondaan malam yang disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya bersama Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Balai Polis Putatan.

Rondaan atau walkabout yang bermula dari Kampung Muhibbah hingga Kampung Sri Pandan itu turut meninjau isu berkaitan belia serta keperluan penambahbaikan kemudahan awam bagi meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat.

Shah Alfie berkata, setiap pandangan, aduan dan teguran yang diterima sepanjang program itu akan diberi perhatian untuk tindakan susulan bersama agensi berkaitan.

“Setiap teguran, pandangan dan aduan yang diterima akan diberi perhatian serta diusahakan tindakan susulan bersama pihak berkaitan demi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif untuk semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Beliau berkata, keselamatan dan kesejahteraan penduduk sentiasa menjadi keutamaan, justeru usaha turun padang penting bagi mengenal pasti sendiri isu yang dihadapi masyarakat serta mempercepat tindakan penyelesaian.

Program rondaan itu turut disertai Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Putatan, Majlis Daerah Putatan, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N24 Tanjung Keramat dan Pejabat ADUN Tanjung Keramat.

Shah Alfie turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan, khususnya KRT Daerah Putatan dan Balai Polis Putatan atas komitmen berterusan dalam memperkukuh keselamatan komuniti di kawasan Tanjung Keramat.

Exit mobile version