Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Laluan dua hala, Lebih Selamat — Jambatan Sungai Tiku siap November 2027

NAIK TARAF: Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui meninjau lokasi projek menaik taraf Jambatan Sungai Tiku bernilai RM7.8 juta yang dijangka siap pada November 2027, memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 penduduk setempat.

TAWAU: Projek menaik taraf Jambatan Sungai Tiku di kawasan Sin Onn Tiku bernilai RM7.8 juta dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang kepada isu kesesakan lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya apabila siap sepenuhnya pada November 2027.

Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan itu akan bermula pada 26 Mei 2026 dan melibatkan pembinaan jambatan baharu jenis steel girder sepanjang 40 meter bagi menggantikan struktur sedia ada yang telah lama beroperasi.

Menurut beliau, jambatan sedia ada yang hanya menyediakan laluan sehala itu sering menjadi punca kesesakan trafik, selain menimbulkan kebimbangan serius terhadap aspek keselamatan pengguna akibat faktor usia struktur dan kapasiti yang terhad.

“Projek ini bukan sahaja bertujuan menaik taraf kemudahan infrastruktur, malah memberi penekanan kepada aspek keselamatan, keselesaan serta kelancaran pergerakan pengguna jalan raya.

“Apabila siap kelak, jambatan baharu ini akan menyediakan laluan dua hala yang lebih selamat dan efisien untuk kegunaan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

𝟱𝟬,𝟬𝟬𝟬 𝗣𝗲𝗻𝗱𝘂𝗱𝘂𝗸 𝗕𝗮𝗸𝗮𝗹 𝗠𝗲𝗿𝗮𝘀𝗮𝗶 𝗠𝗮𝗻𝗳𝗮𝗮𝘁:
Lo berkata, projek berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 penduduk setempat, selain pengguna jalan raya yang menggunakan laluan tersebut setiap hari.

Bagi memastikan kelancaran pergerakan sepanjang tempoh pembinaan, satu laluan sementara akan dibina bersebelahan jambatan sedia ada sebagai laluan alternatif kepada penduduk dan pengguna jalan raya.

“Pembinaan laluan sementara ini penting bagi memastikan hubungan perhubungan penduduk tidak terjejas dan aktiviti harian dapat diteruskan seperti biasa sepanjang kerja-kerja pembinaan dijalankan,” katanya.

𝗦𝗼𝗸𝗼𝗻𝗴 𝗣𝗲𝗿𝘁𝘂𝗺𝗯𝘂𝗵𝗮𝗻 𝗘𝗸𝗼𝗻𝗼𝗺𝗶 𝗧𝗮𝘄𝗮𝘂:
Lo berkata, projek itu merupakan antara inisiatif penting dalam memperkukuh rangkaian infrastruktur di kawasan Tawau serta menyokong pertumbuhan ekonomi setempat melalui sistem perhubungan yang lebih cekap dan selamat.

“Apabila siap nanti, projek ini bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan pengguna, sekali gus memberi impak positif kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.

Exit mobile version