KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus memperkasa peranan pegawai-pegawai politik kementerian bagi memastikan sistem penyampaian maklumat berkaitan dasar, bantuan dan inisiatif kerajaan dapat disampaikan secara tersusun, berkesan serta tidak tercicir kepada rakyat.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi penganjuran Program Kursus Khas Sabah Crisis Communication Leadership yang melibatkan pegawai-pegawai politik kementerian serta wakil beberapa agensi kritikal.
Menurut beliau, kursus berkenaan bertujuan memperkukuh keupayaan pengurusan strategik dan komunikasi, khususnya dalam menyelaras mesej berkaitan pelaksanaan dasar dan sistem penyampaian kerajaan.
“Kita mahu pegawai-pegawai politik kementerian mempunyai penyelarasan yang jelas dari segi mesej dan komunikasi supaya segala bantuan, program dan inisiatif kerajaan benar-benar sampai kepada rakyat dan tidak ada yang tercicir,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program berkenaan, hari ini.
Azrul berkata, terdapat aduan dalam kalangan rakyat yang masih tidak mengetahui kewujudan bantuan-bantuan kerajaan, justeru peranan pegawai politik perlu diperkasa bagi menutup jurang maklumat tersebut.
“Inilah masanya untuk kita memperkukuh peranan pegawai politik, menyelaras mesej kementerian dan memastikan sistem penyampaian maklumat dilaksanakan dengan lebih bertanggungjawab. Isu keciciran rakyat daripada menikmati bantuan kerajaan perlu diminimumkan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kursus itu menjadi platform memperkukuh kebersamaan dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan pegawai politik kementerian, sekali gus membolehkan isu-isu rakyat ditangani secara kolektif dan lebih berkesan.
“Kebersamaan ini penting supaya pegawai politik dapat menyumbang secara langsung membantu kementerian masing-masing menyelesaikan isu dan cabaran yang dihadapi,” katanya.
Selain itu, Azrul berkata, modul kursus memberi penekanan kepada pengurusan komunikasi krisis, termasuk cara pegawai politik berdepan situasi krisis serta menyampaikan maklumat secara tepat dan berkesan kepada rakyat.
“Kursus ini menumpukan bagaimana krisis dikomunikasikan dengan baik supaya setiap isu difahami rakyat secara menyeluruh dan tidak menimbulkan kekeliruan,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan kursus ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk menambah baik sistem penyampaian maklumat serta mekanisme penyelesaian masalah demi kesejahteraan rakyat Sabah.

