KOTA KINABALU: Ahli Jawatankuasa (AJK) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Tambunan mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Victor Peter Paut (Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah – Gagasan Rakyat Tambunan) di Kota Kinabalu, kelmarin, sebagai simbol pengukuhan komitmen strategik bersama dalam agenda pembangunan.
Kunjungan yang disertai barisan kepimpinan AJK GRS Tambunan itu bertujuan mengeratkan silaturahim selain menyampaikan ucapan tahniah kepada Victor atas pelantikannya sebagai Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu.
Dalam pertemuan berkenaan, Victor merakamkan penghargaan atas kunjungan dan sokongan yang diberikan, serta menzahirkan harapan agar kerjasama erat antara kepimpinan politik dan organisasi berkaitan terus diperkukuh demi memastikan pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat, khususnya di Tambunan dan amnya di Sabah.
Kunjungan hormat itu turut mencerminkan hubungan baik antara kepimpinan GRS Tambunan dengan tokoh-tokoh utama negeri, selain menjadi platform memperkukuh kerjasama strategik bagi memperjuangkan agenda pembangunan ekonomi dan sosial demi kepentingan rakyat.

