KOTA KINABALU: Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri menangguhkan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di bawah Akta 860 di pintu masuk negeri ini.
Presidennya, Azizah S. Ahmad berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Jabatan Ketua Menteri atas tindakan tegas mempertahankan kuasa autonomi imigresen Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri dan kerajaan negeri atas tindakan tegas dalam mempertahankan kuasa autonomi imigresen Sabah serta kepentingan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, KPPIS turut menghargai sokongan moral yang diberikan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) serta pegawai imigresen Sabah sepanjang isu berkenaan dibangkitkan.
Katanya, solidariti yang ditunjukkan membuktikan aspek kebajikan dan perlindungan perundangan penjawat awam sentiasa menjadi keutamaan.
Dalam pada itu, beliau turut mengiktiraf peranan media yang membantu membawa isu tersebut kepada perhatian umum sehingga menjadi antara faktor penting dalam memastikan keputusan dasar yang lebih tepat untuk Sabah dapat dicapai.
KPPIS juga menyambut baik kenyataan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) pada 13 Mei lalu yang membangkitkan kebimbangan berkaitan konflik perundangan termasuk kemungkinan isu ultra vires dalam pelaksanaan Akta 860.
“Kami berharap SLS terus memberikan pandangan serta penelitian perundangan bagi memastikan setiap tindakan dan usaha yang dilaksanakan kekal selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang Sabah,” katanya.
Mengulas lanjut, Azizah berkata, KPPIS akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan KPISM di peringkat nasional sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap tadbir urus serta pelaksanaan dasar AKPS di seluruh negara.
Menurutnya, fokus utama kesatuan itu adalah memastikan sebarang usaha pemusatan kuasa penguatkuasaan sempadan pada masa hadapan tidak menghakis bidang kuasa dan kepakaran khusus imigresen.
Beliau berkata, pegawai penguat kuasa di barisan hadapan juga perlu dilindungi menerusi rantaian arahan perundangan yang jelas tanpa konflik bidang kuasa.
“KPPIS menyokong usaha memperkukuh keselamatan sempadan negara, namun ia tidak boleh dilaksanakan sehingga menjejaskan autonomi negeri, kedaulatan perundangan wilayah atau perlindungan undang-undang kepada pegawai yang bertugas,” katanya.

