Site icon Gabungan Rakyat Sabah

KPDN jemput lebih banyak syarikat dan NGO sertai Inisiatif i-FB

KERJASAMA STRATEGIK: Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali (tengah) bergambar bersama wakil NGO dan institusi yang menerima Geran Sumbangan i-FB serta Beg Thermal pada Majlis Pelancaran Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB)@KFC di Kota Kinabalu, Ahad.

KOTA KINABALU:Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempelawa lebih banyak syarikat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi untuk tampil sebagai rakan strategik rasmi dalam memperkukuh pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penyertaan boleh dikemukakan kepada Sekretariat i-FB yang diselaraskan melalui Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) di bawah KPDN.

Beliau berkata, i-FB merupakan pendekatan baharu yang diperkenalkan sejak Disember 2025 bagi memperkasa Program Food Bank Malaysia melalui agenda transformasi berteraskan tiga objektif utama iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan.

“Melalui inisiatif ini, kita mahu menyemarakkan nilai ihsan dan keprihatinan dalam masyarakat untuk bersama-sama membantu golongan rentan melalui penyaluran bantuan makanan secara lebih tersusun dan berkesan.

“Pada masa sama, ia membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, khususnya melibatkan perbelanjaan makanan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB)@KFC di sini, Ahad.

Menurut Armizan, i-FB turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu lebihan makanan (food surplus) yang boleh menyumbang kepada peningkatan sisa pepejal dan menjejaskan kualiti alam sekitar jika tidak diurus dengan baik.

Beliau berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12.3 yang menyasarkan pengurangan sebanyak 50 peratus pembaziran makanan di peringkat industri dan pengguna menjelang 2030.

Armizan berkata, berdasarkan kajian Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), kira-kira satu pertiga daripada makanan yang dihasilkan di seluruh dunia — bersamaan 1.3 bilion tan metrik — dibazirkan setiap tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata QSR Brands (M) Holdings Bhd telah tampil sebagai rakan strategik pertama i-FB menerusi pelaksanaan projek i-FB@KFC yang bertujuan menyelamatkan lebihan makanan untuk diagihkan kepada komuniti yang memerlukan.

Menurutnya, QSR Brands selaku pemegang francais KFC di Malaysia akan menyelaras pengumpulan lebihan makanan yang tidak terjual daripada restoran-restoran KFC sebelum diagihkan kepada golongan sasar melalui kerjasama dengan NGO dan institusi terpilih.

“Projek ini akan dilaksanakan secara lebih sistematik melalui kerjasama antara KPDN, QSR Brands serta NGO yang terlibat bagi memastikan makanan yang masih selamat dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak dibazirkan,” katanya.

Sebagai permulaan, sebanyak 10 restoran KFC di Sabah terlibat dalam projek berkenaan iaitu KFC Putatan, Plaza Juta, Papar, Kinarut, Benoni, Tuaran, Sepanggar, Wawasan Plaza, Emart Lintas dan Bandaran Kota Kinabalu Utara.

KPDN turut mengenal pasti 10 NGO dan institusi yang akan bekerjasama dengan restoran terlibat bagi mengurus dan mengagihkan sumbangan makanan kepada penerima yang layak.

Armizan berkata, projek i-FB@KFC akan diperluaskan secara berperingkat ke lebih banyak restoran KFC serta rakan strategik lain di seluruh negara. “KPDN berharap inisiatif ini dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti dalam membantu golongan memerlukan, mengurangkan beban kos sara hidup rakyat serta menangani isu pembaziran makanan secara lebih berkesan,” katanya.

Exit mobile version