KOTA KINABALU:Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan perlu terus memperkukuh kerjasama dalam sektor pendidikan bagi memastikan pelaksanaan dasar, pembangunan infrastruktur serta penyelesaian isu pendidikan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan menyeluruh.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, hubungan yang erat antara kedua-dua pihak penting bagi memastikan perkongsian maklumat dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, sekali gus membolehkan sebarang isu berkaitan pendidikan ditangani dengan lebih cepat dan efektif.
Menurut beliau, usaha memperkukuh kerjasama itu bukan kerana hubungan sedia ada tidak memadai, sebaliknya bagi meningkatkan lagi kecekapan komunikasi serta penyelarasan maklumat berkaitan perkembangan semasa sektor pendidikan di Sabah.
“Kerajaan negeri mahu kolaborasi dengan Kerajaan Persekutuan terus diperkasa supaya segala maklumat berkaitan pendidikan dapat dikongsi dengan lebih baik.
“Melalui kerjasama yang lebih erat, kerajaan negeri dapat memahami isu yang timbul dengan lebih cepat dan seterusnya membantu mencari penyelesaian bersama pihak berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.
James berkata, isu seperti projek sekolah yang mengalami kelewatan atau terbengkalai memerlukan kerjasama rapat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan punca permasalahan dikenal pasti serta tindakan penyelesaian dapat dilaksanakan segera.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut memainkan peranan penting dalam membantu melancarkan pelaksanaan projek pembangunan pendidikan memandangkan beberapa aspek pentadbiran dan kawal selia berada di bawah bidang kuasa negeri.
Sehubungan itu, James mencadangkan agar sebarang prosedur atau mekanisme yang boleh melambatkan aliran komunikasi antara pegawai di peringkat negeri dan Persekutuan diteliti semula bagi meningkatkan kecekapan penyampaian maklumat.
“Apabila komunikasi lebih lancar, setiap isu dapat dikenal pasti lebih awal dan langkah penyelesaian boleh diambil dengan lebih berkesan demi memastikan pembangunan pendidikan di Sabah terus berjalan dengan baik,” katanya. Beliau menegaskan bahawa kerjasama strategik yang kukuh antara kerajaan negeri dan Persekutuan adalah kunci penting dalam memastikan sistem pendidikan Sabah terus diperkasa demi manfaat generasi masa depan.

