KKTP perkasa inisiatif pembangunan holistik, berteraskan kesejahteraan rakyat

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) akan melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara holistik, mampan, berteraskan rakyat serta berorientasikan kesejahteraan komuniti.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata kementeriannya komited memperkasakan semua jabatan dan agensi di bawah KKTP selaras dengan keperluan semasa serta aspirasi pembangunan negeri Sabah.

Menurut beliau, pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjadi antara keutamaan kementerian dengan penekanan kepada tadbir urus yang telus, berintegriti dan berkesan.

“KKTP akan memperluaskan pelaksanaan Program Jelajah Kembara Menteri di kesemua 25 PBT dengan sasaran setiap PBT mencapai sekurang-kurangnya penarafan tiga bintang dalam Sistem Penarafan Bintang PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, Selasa.

Dalam usaha memperkukuh integriti, Arifin berkata beberapa PBT terpilih akan melaksanakan Anti-Bribery Management System (ABMS), selain penambahbaikan struktur pegawai penguat kuasa PBT di seluruh Sabah.

Katanya, KKTP turut melaksanakan Model Perjawatan PBT Sabah secara lebih menyeluruh serta mempercepat transformasi digital menerusi pelaksanaan inisiatif ePBT, termasuk penambahbaikan Sistem Maklumat Setinggan (eSP 2.0) bagi pelaporan dan pemantauan setinggan di setiap daerah.

“Selain itu, sistem permohonan Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) atau eJKDB akan digunakan oleh semua PBT bagi menyeragamkan proses permohonan dan pengurusan,” katanya.

Dari segi kesejahteraan komuniti, Arifin berkata KKTP akan meneruskan program pembangunan komuniti di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR), termasuk penyediaan Ruang Komuniti PPR dengan sokongan peruntukan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Dalam aspek perumahan, beliau berkata kementerian memberi tumpuan kepada pembangunan terancang dan berfokuskan kesejahteraan rakyat menerusi pembinaan Program Residensi Rakyat (PRR) baharu.

“Antara projek yang akan dilaksanakan ialah PRR Kuala Penyu di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui KPKT, selain beberapa cadangan tapak PRR yang telah dikemukakan untuk disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” katanya.

Beliau turut memaklumkan KKTP akan memperkenalkan Sistem e-Pelesenan Perumahan Swasta (e-PPS) bagi memudahkan permohonan dan pembaharuan lesen pemaju perumahan secara digital.

— TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles