TONGOD: Projek pembinaan kilang klinker dan simen oleh Borneo Cement Sabah Sdn Bhd (BCS) di Kampung Kawayoi di sini menerima kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan beberapa syarat yang ditetapkan.
Pengerusi Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Datuk Masiung Banah berkata, kelulusan itu diperoleh pada 10 April lalu selepas pihaknya menerima surat rasmi daripada JAS Putrajaya.
Menurutnya, walaupun kelulusan EIA telah diperoleh, beberapa proses teknikal dan pematuhan lain masih perlu diselesaikan sebelum projek berkenaan dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Kami telah menerima surat rasmi daripada JAS berkaitan kelulusan EIA ini, namun masih terdapat beberapa proses yang perlu dipatuhi sebelum pelaksanaan penuh projek dapat dimulakan.
“Kerja pembinaan jalan raya, bekalan elektrik, bekalan air dan bangunan kilang akan dilaksanakan secara serentak bermula awal September ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada Rabu.
Masiung berkata, cadangan pembinaan infrastruktur utama termasuk jalan raya dan bekalan elektrik turut mendapat kelulusan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Katanya, laluan jalan berturap sepanjang 26 kilometer akan dibina menghubungkan Kampung Matiku di Nabawan ke Kampung Inarad di Tongod sehingga ke tapak kilang di Kampung Kawayoi.
Selain itu, beliau berkata, bekalan elektrik berkapasiti 40 megawatt akan disalurkan melalui pembinaan menara pylon sepanjang 36 kilometer dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Nabawan ke kawasan kilang berkenaan.
“Bekalan elektrik ini bukan sahaja untuk kegunaan kilang, malah turut memberi manfaat kepada perkampungan dan kawasan ladang berhampiran yang masih belum menikmati kemudahan bekalan elektrik,” katanya.
Menurutnya, BCS turut merancang membina loji bekalan air sendiri menggunakan sumber sungai berhampiran selain menyediakan kemudahan telekomunikasi bagi kawasan kilang dan kuarters pekerja.
Beliau berkata, semua kerja infrastruktur itu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2028.
Mengulas potensi projek berkenaan, Masiung berkata, kilang itu dijangka mampu mengeluarkan sehingga 1.78 juta tan metrik simen setahun apabila mula beroperasi kelak.
Katanya, pengeluaran tersebut berpotensi membantu menstabilkan harga simen di Sabah selain mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan luar.
“Pada peringkat awal operasi, projek ini dijangka mewujudkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan selain membekalkan simen untuk pasaran Sabah dan Labuan,” katanya.

