KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek keperluan mendesak serta projek ‘mudah disiapkan’ yang mampu memberi manfaat segera kepada rakyat, khususnya melibatkan sektor pendidikan dan kesihatan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pendekatan itu selaras dengan usaha memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih cekap, pantas dan berimpak tinggi.
Menurutnya, berdasarkan laporan MyProjek, Sabah menerima peruntukan sebanyak RM6.59 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang melibatkan 1,233 projek atau program pembangunan.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan Sabah terus maju seiring aspirasi Kerajaan MADANI dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Saya mahu pemantauan lebih kerap dilaksanakan bagi memastikan projek berjalan lancar tanpa kelewatan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu, pada Isnin.
Beliau menegaskan, sebarang isu pelaksanaan seperti peruntukan, tanah dan utiliti perlu ditangani segera melalui saluran yang tepat termasuk agensi pusat dan kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Hajiji berkata , Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan kepentingan pelaksanaan segera projek berskala kecil yang boleh disiapkan dengan cepat dan memberi impak langsung kepada rakyat.
“Projek-projek ini perlu dilaksanakan dengan cekap, mengikut jadual dan penuh integriti. Tidak wajar projek dalam kategori ini mengalami kelewatan, yang lazimnya berpunca daripada isu setempat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu agensi pelaksana dan pemilik projek meningkatkan pemantauan bagi memastikan projek ‘mudah disiapkan’ dapat diselesaikan mengikut perancangan.
Hajiji berkata, Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah 2026 merupakan kesinambungan agenda pembangunan di bawah SMJ, yang turut diperkukuh melalui pelaksanaan SMJ 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Menurutnya, usaha pembasmian kemiskinan kekal menjadi tonggak utama bagi memastikan tiada rakyat tercicir dalam arus pembangunan negeri.
“Dengan peruntukan belanjawan berjumlah RM12.02 bilion bagi 2026, sebahagian besar dana disalurkan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya yang akan merangsang aktiviti ekonomi di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat termasuk Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang menyasarkan golongan rentan.
Dalam masa sama, Hajiji menegaskan bahawa kejayaan SMJ 1.0 menjadi asas kukuh kepada pelaksanaan SMJ 2.0 yang menuntut perubahan berterusan dalam cara berfikir, bekerja dan mencipta nilai baharu untuk rakyat.
Menurutnya, SMJ 2.0 akan terus memberi fokus kepada tiga sektor utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan, selain memperkukuh modal insan, kesejahteraan rakyat serta pembangunan infrastruktur dan jaringan hijau termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo.
Beliau turut menegaskan kepentingan pelaporan projek yang tertangguh dalam mesyuarat bagi memastikan segala isu dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan.
“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini kerana kelewatan projek bukan sahaja meningkatkan kos, malah memberi kesan kepada rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak berkaitan agar terus komited dalam menyelesaikan isu kelewatan pelaksanaan projek, khususnya projek yang memberi impak segera kepada rakyat.

