KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengarahkan 18 Setiausaha Politik yang baharu dilantik supaya memastikan maklumat berkaitan inisiatif dan dasar Kerajaan Negeri disampaikan secara berkesan hingga ke peringkat akar umbi.
Beliau berkata, peranan setiausaha politik amat penting dalam sistem pentadbiran dan mereka perlu membantu kerajaan serta menteri masing-masing, khususnya dalam menyebarluaskan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat. Penekanan turut diberikan kepada penyampaian maklumat berkaitan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang akan bermula tahun hadapan.
“Yang penting, setiausaha politik perlu memastikan rakyat memahami dan mengetahui inisiatif serta dasar kerajaan, terutama SMJ 2.0,” katanya ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah 18 Setiausaha Politik di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, pengalaman pada Pilihan Raya Negeri lalu menunjukkan masih ramai rakyat tidak mengetahui inisiatif dan bantuan yang disediakan kerajaan walaupun hebahan telah dibuat melalui pelbagai platform media.
Menurut beliau, antara contoh ketara ialah pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) oleh Kerajaan Negeri serta pemberian biasiswa kepada 39 pemegang sijil tersebut yang masih tidak diketahui oleh sebahagian masyarakat Cina.
“Saya terkejut apabila ramai dalam kalangan masyarakat Cina tidak mengetahui apa yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri walaupun pelbagai bantuan telah disalurkan kepada sekolah-sekolah Cina dan badan keagamaan bukan Islam,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah memperuntukkan lebih RM1.3 bilion bagi pendidikan dan pembangunan modal insan, termasuk pemberian komputer riba percuma, bayaran yuran pendaftaran kemasukan universiti secara sekali bayar serta subsidi perjalanan kepada pelajar universiti untuk pulang ke kampung halaman semasa musim cuti.
Selain itu, bantuan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun, pelaksanaan Rumah Mesra SMJ dengan sasaran 40 unit yang akan ditingkatkan kepada 50 unit bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri, serta pelbagai lagi inisiatif kebajikan rakyat turut dilaksanakan.
“Semua ini tidak pernah dilaksanakan sebelum ini. Oleh itu, saya mahu setiausaha politik memainkan peranan masing-masing untuk menyampaikan maklumat ini kepada rakyat supaya mereka mendapat maklumat yang tepat dan tidak timbul tuduhan bahawa kerajaan hanya menabur janji,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan permintaan Ahli Dewan Undangan Negeri pembangkang untuk mendapatkan bantuan peruntukan pengurusan pejabat, tertakluk kepada budi bicara Menteri Kewangan.
Beliau turut mengingatkan semua setiausaha politik supaya tidak menyalahgunakan kedudukan mereka untuk kepentingan peribadi, sebaliknya melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab dan bekerja sebagai satu pasukan.
“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mengkhianati kepercayaan yang diberikan,” katanya.
Setiausaha Politik baharu di Jabatan Ketua Menteri ialah Azrul Ibrahim sebagai Ketua Setiausaha Politik, Datuk Effendi Mohamed Sunoh, Datuk Mazlan @ Joehari Manan, Datuk Arthur Sen, Datuk Norazlinah Arif, Datuk Lahirul Latigu, Noorazmahirah Noorzain dan Mohd Isquzawan Israq Arsit.
Setiausaha politik lain ialah Dr Bonaventure Boniface (Kementerian Kerja Raya dan Utiliti), Johari @ Joe Suhaimin (Kementerian Kewangan), Carlyle Lajimin (Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan), Abd Wahid Abd Razak (Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan), Justinus Jalang (Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi), M. Aziriansyah Ali (Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif), Sabili Ahunang (Kementerian Pembangunan Luar Bandar), Marius Masain (Kementerian Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat), Datuk Raimie Unggi (Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar) dan Herbert Roger (Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan).

