Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Kestabilan politik teras pembangunan Sabah: Hajiji

Hajiji menyeru rakyat Sabah memperkukuh perpaduan dan bersama-sama membangunkan negeri di bawah agenda Sabah Maju Jaya.

KOTA KINABALU:Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menegaskan bahawa kerajaan negeri kekal komited dalam memperkukuh kestabilan politik sebagai asas utama kepada pembangunan dan kemakmuran negeri.

Beliau berkata kestabilan politik merupakan prasyarat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.

“Kestabilan politik adalah prasyarat utama kepada pembangunan dan kemakmuran negeri,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 2026.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri telah merangka hala tuju pembangunan yang lebih strategik dan menyeluruh melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, bagi memacu Sabah ke tahap kemajuan yang lebih tinggi.

Beliau berkata pelan tersebut bukan sekadar perancangan di atas kertas, sebaliknya mencerminkan komitmen jitu kerajaan dalam mentransformasikan ekonomi negeri, memperkasa modal insan serta memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Sabah menjadikan sambutan Aidilfitri sebagai pemangkin untuk memperbaharui tekad, memperkukuh perpaduan serta melipatgandakan usaha membina negeri yang lebih maju dan sejahtera di bawah agenda Sabah Maju Jaya.

Hajiji berkata Aidilfitri bukan sahaja simbol kemenangan melawan hawa nafsu, malah mendidik jiwa dengan nilai kesabaran dan keikhlasan serta menjadi platform terbaik untuk mempereratkan hubungan silaturahim dalam kalangan keluarga, jiran dan masyarakat.

“Di bumi Sabah, Aidilfitri diraikan dalam suasana muhibah oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama, sekali gus mencerminkan kekuatan perpaduan dalam kepelbagaian.

“Nilai hormat-menghormati, toleransi dan kebersamaan yang diwarisi perlu terus dipelihara sebagai asas kestabilan dan kemajuan negeri,” katanya.

Exit mobile version