Kesatuan Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat Kukuh Sokongan GRS di Semporna

SEMPORNA: Naib Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim, menggesa seluruh jentera muda di zon Semporna agar terus memperkukuh kesatuan dan semangat perjuangan bagi memastikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertapak kukuh di daerah berkenaan.

Azrul, yang juga Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) di bawah Jabatan Ketua Menteri Sabah, menegaskan bahawa kekuatan sebenar GRS di Semporna bergantung kepada perpaduan serta kerja berpasukan dalam kalangan Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat.



“Tiada yang mustahil jika kita bersatu dalam perjuangan dan bekerja sebagai satu pasukan. GRS memiliki kekuatan akar umbi yang semakin berkembang di Semporna, dan dengan kesungguhan serta strategi yang teratur, kita mampu menawan salah satu kerusi DUN di kawasan ini, InshaAllah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi pertemuan bersama pimpinan Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat zon Semporna, yang merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) — Bugaya, Sulabayan dan Senallang.

Azrul menekankan bahawa generasi muda kini menjadi pemangkin kestabilan politik negeri dan memainkan peranan penting dalam meneruskan legasi pembangunan yang diasaskan oleh kerajaan GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang juga Pengerusi GRS.

Menurut beliau, keterlibatan aktif golongan muda dalam pelbagai program komuniti, aktiviti kemasyarakatan dan wacana pembangunan membuktikan bahawa GRS bukan sekadar gabungan politik, tetapi gerakan yang benar-benar memahami aspirasi rakyat.

Azrul turut menyeru barisan muda agar terus memperkukuh kesedaran politik secara matang dan menyokong dasar-dasar pembangunan kerajaan negeri yang memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat serta masa depan generasi muda.

TAMAT

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles