TAWAU: Kerjasama strategik antara syarikat media Sabah dan Kalimantan Utara (Kaltara), Indonesia menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) diyakini mampu memperkukuh hubungan dua wilayah berjiran selain membuka lebih banyak peluang kerjasama rentas sempadan.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kolaborasi berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada pengamal media, malah memperkukuh hubungan Malaysia dan Indonesia khususnya melibatkan Sabah dan Kalimantan Utara.
Menurutnya, kerjasama itu juga mampu menjadi platform penting dalam memastikan penyampaian berita lebih bertanggungjawab, sahih dan beretika.
“Syabas dan tahniah kepada pengamal media dari Malaysia dan Indonesia khususnya Sabah dan Kalimantan Utara atas persefahaman yang dimeterai ini.
“Kerjasama ini sudah pasti memberi manfaat kepada kedua-dua negara dan wilayah terlibat khususnya Tawau dan Kalimantan Utara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat media Sabah dan syarikat media Kalimantan Utara di sini, pada Ahad.
Turut hadir, Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal serta Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Saripudin Nuhalim.
Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Pemangku Ketua Konsulat Republik Indonesia di Tawau, Dino Nurwahyudin atas sokongan terhadap penganjuran program berkenaan.
Katanya, sokongan kepimpinan kedua-dua negara amat penting dalam memastikan hubungan serta kerjasama yang terjalin dapat terus diperkukuh demi manfaat bersama.
Dalam pada itu, beliau berkata, persefahaman berkenaan turut mencerminkan komitmen pengamal media untuk terus memelihara etika kewartawanan dan profesionalisme dalam penyampaian maklumat.
“Kita melihat ada pihak yang bukan wartawan tetapi bertindak seolah-olah wartawan sehingga etika kewartawanan tidak lagi dipelihara.
“Dengan adanya kerjasama ini, kita berharap pengamal media sosial turut bersama-sama menjaga tata susila dan etika kewartawanan kerana tanggungjawab wartawan adalah menyatukan masyarakat serta menyampaikan berita yang sahih,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya bagi mengelakkan penularan maklumat palsu.
Sementara itu, Dino berkata, kerjasama berkenaan dijangka meningkatkan lagi interaksi ekonomi dan sosial antara masyarakat Sabah dan Kalimantan Utara yang sememangnya mempunyai hubungan erat sejak sekian lama.
Katanya, MoU tersebut membuka lebih banyak ruang kepada media di kedua-dua wilayah untuk melaporkan aktiviti serta potensi kerjasama yang sebelum ini kurang diketengahkan.
“Hubungan masyarakat di sempadan ini sudah berlangsung sangat lama dan terdapat banyak aktiviti yang belum direkodkan secara meluas oleh media.
“Kami berharap dengan adanya MoU ini, lebih banyak berita berkaitan kerjasama antara Indonesia dan Malaysia dapat diketengahkan kepada masyarakat,” katanya.
Menurutnya, kerjasama itu juga penting bagi mengelakkan penyebaran berita tidak tepat atau bersifat provokasi kerana media di kedua-dua negara kini mempunyai akses lebih baik kepada sumber rasmi dan tokoh berkaitan.
“Melalui kerjasama ini, wartawan di Malaysia dan Indonesia boleh mendapatkan maklumat yang lebih tepat daripada sumber yang sahih,” katanya.

