Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Kerjasama jurutera, kerajaan penting jayakan agenda SMJ 2.0 : Masidi

PENGHARGAAN: Masidi menerima cenderahati daripada Tan Kok Jyh sambil disaksikan delegasi Institut Jurutera Malaysia (IEM) Sabah.

KOTA KINABALU: Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan badan profesional dalam bidang kejuruteraan amat penting bagi menyokong pelaksanaan agenda pembangunan Sabah di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 secara lebih efisien dan mampan.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, peranan jurutera serta tenaga pakar teknikal adalah kritikal dalam merancang dan melaksanakan projek pembangunan infrastruktur yang berkualiti, berdaya tahan dan menepati keperluan semasa.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi Institut Jurutera Malaysia (IEM) Sabah di pejabatnya, di sini.

Menurutnya, kepakaran serta pandangan profesional daripada IEM penting bagi memastikan setiap projek pembangunan bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, malah mengambil kira cabaran masa depan termasuk perubahan iklim, aspek keselamatan dan kecekapan kos.

KUNJUNGAN: Masidi menerima kunjungan hormat delegasi IEM Sabah bagi membincangkan kerjasama dalam pembangunan infrastruktur negeri.

“IEM berperanan penting dalam membantu merealisasikan aspirasi SMJ 2.0 melalui sumbangan kepakaran teknikal, inovasi serta amalan kejuruteraan terbaik.

“Pada masa sama, usaha melahirkan lebih ramai jurutera tempatan berkemahiran tinggi perlu diperkasa bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri yang semakin pesat,” katanya.

Masidi turut menekankan bahawa pendekatan kolaboratif antara sektor awam dan swasta merupakan antara teras utama dalam memperkukuh pelaksanaan SMJ 2.0 yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi inklusif, pembangunan modal insan serta pengukuhan infrastruktur asas di seluruh Sabah.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi IEM Sabah,Ir. Ts. Tan Kok Jyh, JP , menyatakan komitmen pihaknya untuk terus menyokong usaha kerajaan negeri melalui perkongsian kepakaran teknikal, khidmat nasihat serta penglibatan aktif dalam projek strategik.

Menurutnya, kunjungan itu turut membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama dalam pelbagai bidang kejuruteraan termasuk pembangunan infrastruktur hijau, pendigitalan serta penggunaan teknologi baharu dalam sektor pembinaan dan tenaga.

Pertemuan berkenaan mencerminkan kesungguhan kedua-dua pihak dalam memperkukuh sinergi strategik bagi memastikan agenda pembangunan Sabah dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, mampan dan inklusif.

Exit mobile version