KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan melaksanakan penstrukturan semula secara menyeluruh terhadap kepimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri bagi memperkukuh tadbir urus korporat, meningkatkan akauntabiliti serta memastikan GLC berperanan lebih berkesan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata proses itu merangkumi pelantikan semula pengerusi dan ahli lembaga pengarah GLC terlibat, selaras dengan keperluan pentadbiran semasa dan hala tuju baharu pembangunan negeri di bawah Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Menurutnya, rombakan kepimpinan itu bertujuan memperkukuh keupayaan pengurusan GLC supaya lebih profesional, berdaya saing dan berorientasikan hasil, sekali gus mampu menjana nilai ekonomi yang lebih besar kepada rakyat Sabah.
“Matlamat kita jelas, iaitu memastikan GLC menjadi pemacu ekonomi yang berkesan dan boleh dipercayai melalui tadbir urus yang kukuh serta kepimpinan yang kompeten.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap GLC bergerak seiring dengan aspirasi pembangunan Sabah Maju Jaya, khususnya dalam fasa pelaksanaan SMJ 2.0,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri memerlukan barisan kepimpinan GLC yang dinamik dan berfikiran strategik, terutama ketika Sabah melangkah ke era baharu pembangunan yang dipacu pelaburan strategik, pendigitalan, tenaga baharu, peralihan ekonomi hijau serta peningkatan kesejahteraan sosial.
“Kita menghargai sumbangan dan jasa kepimpinan terdahulu, namun penstrukturan semula ini adalah satu keperluan bagi memastikan transformasi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
“Keutamaan kita adalah masa depan Sabah yang stabil, makmur dan terjamin demi kepentingan generasi hari ini dan akan datang,” katanya.
Beliau menegaskan, rombakan kepimpinan GLC ini bukan bersifat politik, sebaliknya berlandaskan prinsip tadbir urus baik, integriti dan kecekapan, bagi memastikan GLC benar-benar berfungsi sebagai instrumen pembangunan ekonomi negeri.
— TAMAT

