Kerajaan perlu bersedia hadapi kesan ekonomi konflik Timur Tengah

KOTA KINABALU:Kumpulan Backbenchers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah menggesa kerajaan supaya menyediakan pelan tindakan segera bagi mendepani kesan ketidaktentuan ekonomi global susulan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di Timur Tengah.

Pengerusinya, Datuk Masiung Banah berkata kerajaan Persekutuan seharusnya sudah merangka langkah jangka pendek dan sederhana bagi menangani kesan kenaikan harga minyak mentah dunia yang boleh memberi impak kepada ekonomi negara.

Menurut beliau, peningkatan harga minyak mentah global berpotensi menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan termasuk bahan makanan dan kos logistik.

“Sekiranya kerajaan lambat bertindak tanpa pelan tindakan awal, peniaga mungkin mengambil kesempatan sehingga kenaikan harga barangan keperluan harian menjadi tidak terkawal.

“Kenaikan mendadak harga minyak mentah dunia juga berpotensi mencetuskan tekanan inflasi berganda yang akhirnya meningkatkan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata ketegangan geopolitik membabitkan beberapa negara utama termasuk Amerika Syarikat, Israel dan Iran turut menjejaskan laluan perdagangan penting dunia seperti Selat Hormuz.

Menurutnya, situasi tersebut boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan global serta menyebabkan peningkatan harga bahan mentah yang akhirnya menjejaskan ekonomi negara termasuk Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kewangan Malaysia dan Kementerian Ekonomi Malaysia supaya mempertimbangkan langkah dasar fiskal yang bersesuaian bagi mengurangkan impak ekonomi susulan ketegangan geopolitik tersebut.

Katanya, kesan kenaikan harga bahan api serta barangan import sudah mula dirasai oleh rakyat ketika ini.

“Sekiranya konflik berlanjutan, kerajaan perlu bersedia dengan pelan fiskal tambahan bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

“Apabila harga diesel meningkat, kos pengangkutan dan logistik turut meningkat sekali gus memberi kesan kepada harga barangan di pasaran tempatan,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles