Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Kerajaan Negeri sumbang dua kenderaan pacuan empat roda kepada JSJN Polis Sabah

SUMBANGAN: Hajiji menyerahkan replika kunci kepada Mohd Khalid.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menyumbangkan dua unit kenderaan pacuan empat roda kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah bagi memperkukuh keupayaan operasi pasukan keselamatan dalam membanteras jenayah narkotik di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan replika kunci kenderaan berkenaan kepada Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Mohd Khalid Ismail sebagai simbolik penyerahan sumbangan dalam satu majlis yang berlangsung di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan, di sini, pada Jumaat.

Hajiji berkata, sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menyokong usaha Polis Sabah memperkukuh keselamatan awam, khususnya dalam menangani ancaman penyalahgunaan dan pengedaran dadah yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat.

“Sumbangan ini diharap dapat membantu meningkatkan kecekapan operasi JSJN, terutama di kawasan pedalaman dan lokasi mencabar yang memerlukan kenderaan pacuan empat roda untuk pergerakan pantas dan berkesan,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan pasukan keselamatan amat penting bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara, di samping menyokong agenda kesejahteraan sosial dan pembangunan negeri.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk James Ratib; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong; Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; serta pegawai-pegawai kanan Polis Diraja Malaysia dari Bukit Aman.

–TAMAT

Exit mobile version