Kerajaan Negeri salur RM10,000 kepada keluarga mangsa tanah runtuh di Sandakan

KOTA KINABALU:Kerajaan Negeri Sabah akan menyalurkan bantuan tunai sebanyak RM10,000 kepada keluarga seorang lelaki warga emas yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Sandakan awal pagi Rabu.

Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah, Awang Shahminan Sahari berkata Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Walter Kenson, telah diarahkan untuk mengesan waris mangsa bagi memastikan bantuan tersebut dapat disalurkan dengan segera.

Mangsa dikenali sebagai Agustine J. Lingam, 76, dilaporkan cuba menghidupkan generator sebuah hotel apabila tanah dari kawasan sekitar runtuh lalu menimbusnya.

Kejadian tersebut disahkan oleh Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sandakan, Jimmy Lagung.

Sementara itu, Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah memaklumkan bahawa setakat jam 12 tengah hari ini seramai 1,306 penduduk terjejas akibat banjir yang melanda beberapa daerah di utara Sabah.

Banjir tersebut melibatkan daerah Kota Marudu, Paitan dan Pitas dengan keseluruhan 40 buah kampung terjejas.

Kerajaan negeri terus memantau situasi semasa bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mangsa yang terjejas serta keselamatan penduduk sentiasa terpelihara.

Related Articles

Stay Connected

140,000FansLike
230,000FollowersFollow
0SubscribersSubscribe

Latest Articles