Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Kerajaan ketatkan kawalan fleet card SKDS mulai Jun

SIDANG MEDIA: Armizan menjelaskan langkah kerajaan memperketat kawalan subsidi diesel di bawah SKDS.

RANAU: Kerajaan akan memperketat kawalan penggunaan fleet card di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) menerusi pelaksanaan kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan bagi mengekang ketirisan subsidi serta penyalahgunaan bahan api bersubsidi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelarasan had kuota tetap itu membabitkan 23 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan dan akan berkuat kuasa mulai 1 Jun depan.

Katanya, langkah berkenaan diputuskan susulan peningkatan mendadak implikasi subsidi bahan api akibat konflik Asia Barat dan krisis tenaga global yang menyebabkan kerajaan menanggung lonjakan kos subsidi.

“Jumlah had kuota ini ditetapkan berdasarkan analisis penggunaan mengikut jenis pengangkutan sepanjang dua tahun pelaksanaan SKDS.

“Pelarasan kadar kuota tetap bagi setiap fleet card akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026,” katanya pada sidang media di Kundasang.

Menurutnya, syarikat yang memerlukan penggunaan melebihi had ditetapkan masih boleh mengemukakan rayuan pertambahan kuota kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP) yang diurus setiakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Katanya, permohonan rayuan boleh dibuat secara dalam talian melalui e-mel mysubsidi@kpdn.gov.my atau di kaunter KPDN berhampiran.

“Setiap permohonan akan dinilai berdasarkan justifikasi keperluan operasi sebenar dan rekod penggunaan bulanan dalam sistem SKDS,” katanya.

Armizan turut memberi amaran tegas kepada syarikat yang menyalahgunakan fleet card bahawa tindakan penggantungan serta-merta dan senarai hitam akan dikenakan.

“Semua syarikat yang menerima manfaat subsidi bahan api melalui SKPS dan SKDS diingatkan supaya bertanggungjawab terhadap penggunaan setiap fleet card yang diperoleh melalui syarikat minyak.

“Sebarang penyalahgunaan akan menyebabkan fleet card digantung serta-merta dan syarikat terbabit disenarai hitam,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan kekal komited meneruskan penyaluran subsidi bahan api secara bersasar walaupun kos subsidi meningkat secara drastik akibat situasi global semasa.

Menurutnya, subsidi petrol dan diesel yang ditanggung kerajaan sebelum tercetus konflik Asia Barat adalah RM1.29 bilion pada Januari dan RM1.20 bilion pada Februari 2026.

“Namun sejak konflik bermula pada 28 Februari lalu, implikasi subsidi petrol dan diesel meningkat kepada RM5.67 bilion bagi Mac 2026 iaitu kenaikan lebih 370 peratus berbanding bulan sebelumnya.

“Jumlah itu belum termasuk subsidi bahan api lain dan kerajaan akan terus menanggung lonjakan kos subsidi selagi harga minyak dunia kekal tinggi dan krisis tenaga berlarutan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai strategi mitigasi dan intervensi secara bersasar merentasi kementerian dan agensi bagi menangani kesan krisis tenaga serta gangguan bekalan global terhadap rakyat.

Katanya, sehingga 20 Mei lalu, sebanyak 179,716 syarikat melibatkan 432,495 kenderaan sektor pengangkutan darat awam, pengangkutan darat barangan dan pengangkutan awam air telah menerima manfaat subsidi petrol dan diesel di bawah SKPS dan SKDS.

“Jumlah itu melibatkan 19,189 syarikat dengan 38,817 kenderaan di bawah SKPS dan 160,527 syarikat dengan 393,678 kenderaan di bawah SKDS,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata kerajaan turut memutuskan peluasan kelayakan subsidi diesel melalui SKDS kepada kenderaan jenis jip dan pikap bagi sektor pengangkutan darat barangan di seluruh negara berkuat kuasa 1 Jun depan.

Katanya, sebelum ini kemudahan itu hanya diberikan kepada kawasan Cameron Highlands.

“Kerajaan juga memperluaskan manfaat subsidi diesel kepada pemilik jip dan pikap yang sebelum ini didaftarkan atas nama individu, tertakluk kepada pertukaran hak milik kenderaan kepada syarikat,” katanya.

Beliau berkata, pengguna individu yang menjalankan aktiviti pengangkutan darat barangan digalakkan mendaftarkan syarikat atau perniagaan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atau pihak berkuasa berkaitan di Sabah dan Sarawak.

Katanya, pemohon juga perlu memenuhi syarat kelayakan lain termasuk memindahkan hak milik kenderaan daripada kategori individu kepada syarikat melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Armizan turut menggalakkan syarikat pengangkutan yang masih belum memanfaatkan subsidi petrol dan diesel di bawah SKPS dan SKDS supaya segera membuat pendaftaran melalui portal MySubsidi.

Exit mobile version