Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Kerajaan GRS bukti bekerja, bukan berjanji

Penyandang ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury, menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran lima inisiatif serentak di Menumbok yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Beliau menegaskan kerajaan GRS bukan sekadar berjanji, tetapi benar-benar bekerja untuk rakyat.

MENUMBOK:Pelancaran lima inisiatif serentak di Menumbok disifatkan sebagai bukti nyata bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) benar-benar bekerja untuk rakyat, bukan sekadar menabur janji, kata Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury.

Lima program berkenaan ialah Pelancaran Buku Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Menumbok 2025–2035, Penyerahan Kunci Rumah Mesra SMJ, Perasmian Masjid Nur Ihsan Menumbok, Penyerahan Warta Tanah Kediaman Anak Negeri, dan Penyampaian Bantuan Yayasan Pendidikan Limus Jury (YPLJ).

Majlis bersejarah itu dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di Tapak Tamu Menumbok, semalam.

AGENDA PEMBANGUNAN: Hajiji, Limus dan kenamaan lain memegang buku pelan pembangunan Kuala Penyu dan Menumbok yang dilancarkan pada majlis itu.

“Semua ini bukti jelas bahawa kerajaan GRS bukan hanya pandai bercakap, tetapi benar-benar bekerja untuk rakyat.

Kita bukan kerajaan yang datang untuk berjanji, tetapi kerajaan yang datang menunaikan janji,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Limus berkata, pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Kuala Penyu dan Menumbok menjadi asas penting bagi merancang hala tuju pembangunan daerah secara menyeluruh dan bersepadu.

“Pelan ini bukan hanya menumpukan pembangunan fizikal, tetapi juga pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan yang seimbang untuk rakyat di kedua-dua daerah,” jelasnya.

Beliau berkata, pelan strategik tersebut membuktikan kerajaan GRS memiliki visi jauh ke hadapan dalam memastikan pembangunan luar bandar turut seiring dengan kemajuan daerah lain di Sabah.

Mengulas lanjut, Limus berkata, penyerahan kunci Rumah Mesra SMJ melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan berpendapatan rendah agar mereka turut menikmati kehidupan selesa dan bermaruah.

“Kerajaan memastikan setiap rakyat mempunyai tempat tinggal yang selesa. Rumah Mesra SMJ ini bukti kerajaan tidak meminggirkan sesiapa,” katanya.

Perasmian Masjid Nur Ihsan Menumbok, katanya, membawa makna besar kerana ia bukan sekadar rumah ibadah, tetapi lambang perpaduan ummah dan keharmonian antara kaum di daerah Kuala Penyu.

“Masjid ini akan menjadi pusat penyatuan masyarakat, tempat beribadah dan berinteraksi bagi membina semangat kebersamaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, penyerahan warta tanah kediaman anak negeri disifatkan sebagai hadiah bermakna kepada rakyat kerana menjamin hak milik kekal dan masa depan keluarga di tanah sendiri.

Limus turut menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas pembangunan manusia, dengan Yayasan Pendidikan Limus Jury (YPLJ) menjadi antara bukti komitmennya dalam memperkasa pelajar luar bandar.

“Agenda pendidikan akan terus menjadi teras perjuangan kita. YPLJ akan terus membantu pelajar agar mereka tidak tercicir dalam mengejar kejayaan,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version