KOTA KINABALU:Keputusan berhubung permohonan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dijangka dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang dijadual berlangsung pada 18 Jun ini.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, beliau sedang melaksanakan sesi libat urus dengan kepimpinan dan pengurusan UPKO bagi mendapatkan maklumat tambahan untuk disertakan dalam kertas pertimbangan yang akan dibentangkan kepada Majlis Tertinggi GRS.
Menurut beliau, proses itu penting bagi membolehkan semua aspek berkaitan permohonan tersebut dinilai secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Pada peringkat ini, saya sedang mengumpulkan maklumat berkaitan struktur parti termasuk jumlah bahagian, cawangan dan keahlian UPKO bagi melengkapkan kertas pertimbangan yang akan dibentangkan kepada Majlis Tertinggi GRS.
“Saya menjangkakan keputusan berhubung permohonan ini dapat dibuat dalam mesyuarat yang dijadualkan pada 18 Jun nanti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Ihsan Foodbank (i-FB)@KFC di sini, Ahad.
Armizan berkata, GRS melihat hasrat UPKO untuk menyertai gabungan itu sebagai satu perkembangan yang amat positif dalam usaha memperkukuh penyatuan parti-parti tempatan Sabah di bawah satu payung politik yang sama.
Beliau berkata, UPKO telah menunjukkan keikhlasan untuk bekerjasama dengan GRS apabila secara sukarela memberikan sokongan kepada Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah sejurus selepas Pilihan Raya Negeri yang lalu.
“Perkara ini menunjukkan komitmen dan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan GRS demi kestabilan politik dan pembangunan negeri,” katanya.
Beliau turut menyifatkan UPKO sebagai sebuah parti yang mempunyai sejarah perjuangan yang panjang, khususnya dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah, selari dengan aspirasi yang diperjuangkan oleh GRS.
Bagaimanapun, Armizan menegaskan bahawa mana-mana parti yang ingin menyertai GRS perlu komited kepada empat teras utama perjuangan gabungan itu iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, maklum balas yang diterima setakat ini amat positif dan kerjasama yang ditunjukkan oleh UPKO dalam kerajaan negeri turut menyumbang kepada kestabilan pentadbiran serta usaha pembangunan Sabah. “Sepanjang kebersamaan dalam kerajaan negeri, mereka telah memberikan kerjasama yang baik dan bekerja keras untuk mencapai matlamat pembangunan negeri serta meningkatkan hasil negeri,” katanya.

