KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menegaskan bahawa keputusan dua bekas pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Jamawi Jaafar dan Datuk George Hiew untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah hak demokratik individu yang harus dihormati.
Menurut Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Presiden Gagasan Rakyat, keputusan tersebut tidak menimbulkan sebarang masalah kepada gabungan itu kerana ia mencerminkan amalan demokrasi yang sihat dalam politik Sabah.
“Sudah tentu itu hak demokrasi mereka untuk memilih parti yang ingin diwakili. Mereka memilih untuk bertanding atas tiket PKR, dan secara kebetulan PKR juga merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dan Maybank Group bagi pembiayaan projek Ekonomi Biru di Menara Kinabalu, pada Isnin.
Hajiji menjelaskan bahawa kedua-dua individu terbabit kini secara rasmi adalah calon PKR dan tidak lagi mewakili Gagasan Rakyat.
“Bagi saya, tiada masalah. Inilah dinamika politik di Sabah. Mereka sudah bukan lagi ahli Gagasan Rakyat, dan kami menghormati keputusan tersebut. Itu sebahagian daripada amalan demokrasi,” katanya.
Ketua Menteri turut menegaskan bahawa Gagasan Rakyat tetap akan memberi sokongan kepada kedua-dua calon berkenaan sebagai sebahagian daripada komponen Kerajaan Perpaduan (Madani) di Sabah.
“Kita tetap akan memberikan sokongan kerana mereka adalah calon Pakatan Harapan (PH),” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai tindakan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang melepaskan jawatan dalam Kabinet Persekutuan kerana tidak sependapat dengan pendirian kerajaan pusat, Hajiji enggan mengulas lanjut.
“Saya tidak boleh beri komen lanjut. Kami sudah pun mengeluarkan kenyataan sebelum ini. Jika boleh, kami berharap Kerajaan Persekutuan tidak membuat rayuan (berhubung keputusan mahkamah mengenai hak 40 peratus hasil Sabah). Namun, jika mereka memilih untuk merayu, itu hak mereka,” katanya.
— TAMAT

