KOTA KINABALU:Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan, menegaskan bahawa keutamaannya ketika ini adalah untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan memperkukuh gerak kerja jentera Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah ke-17.
Fairuz berkata, sama ada beliau akan bertanding sebagai calon bebas atau tidak, keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas berbincang secara mendalam dengan jentera dan kepimpinan akar umbi di kawasan tersebut.
“Apapun keputusan, saya kena berbincang dulu dengan jentera dan rakan-rakan Pemuda. Tindakan saya akan beri kesan besar, bukan hanya di Pintasan, tetapi kepada seluruh gerak kerja Pemuda Gagasan Rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Pemuda Gagasan Rakyat di sini, petang tadi.
Menurut Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Sabah itu, beliau menerima keputusan Presiden, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang menamakan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, sebagai calon GRS bagi kerusi Pintasan dalam PRU DUN ke-17.
“Saya terima keputusan parti dan akan terus gerakkan jentera Pemuda untuk bantu calon-calon GRS di kawasan lain. Saya akan berjumpa dengan Presiden untuk dapatkan pandangan dan nasihat sebelum buat keputusan,” katanya.
Fairuz menjelaskan, beliau memahami kekecewaan sebahagian penyokong dan jentera di peringkat akar umbi, namun menegaskan bahawa setiap langkah perlu dibuat secara berhikmah dan bukan berasaskan emosi.
“Kita faham rasa kecewa penyokong, tapi keputusan perlu dibuat dengan teliti. Untuk saya, perjuangan di Pintasan belum selesai. Masih banyak isu perlu diselesaikan, termasuk pengagihan baki geran pantas kepada rakyat,” katanya.
Mengulas desas-desus penyertaannya dalam parti lain, Fairuz mengesahkan bahawa beliau menerima pelbagai tawaran daripada parti tempatan dan Semenanjung, namun menolak kesemuanya.
“Saya dihubungi banyak pihak yang sangka saya tidak dicalonkan, tapi saya menolak dengan baik kerana saya hormat mereka dan saya hormat parti saya. Perjuangan ini bersama GRS, itu yang utama,” katanya.
Fairuz yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, berkata fokusnya kini ialah membantu memperkukuh semangat jentera belia dan akar umbi di seluruh kawasan.
Fairuz memenangi kerusi DUN Pintasan pada PRU DUN Sabah 2020 dengan majoriti 84 undi, menewaskan Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang ketika itu bertanding atas tiket USNO.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau dikenali dengan usaha menaik taraf infrastruktur tempatan serta memperkasa komuniti belia menerusi pelbagai inisiatif sukan dan program pembangunan masyarakat.
–TAMAT

