KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peningkatan Bayaran Khas Interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion.
Ketuanya, Datuk Redonah Bahanda berkata, peningkatan itu merupakan satu perkembangan positif yang mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta memperkukuh kedudukan kewangan Sabah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Wanita Gagasan Rakyat kekal konsisten menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk menuntut pelaksanaan penuh hak 40 peratus Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Bayaran khas interim ini adalah satu langkah ke hadapan yang wajar dihargai, namun ia bukan pengganti kepada hak perlembagaan Sabah yang terus diperjuangkan.
“Kami akan terus menyokong usaha Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Kerajaan Negeri dalam memastikan hak-hak Sabah dapat direalisasikan melalui rundingan yang berhemah dan konstruktif,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, peningkatan bayaran interim itu dijangka membantu mempercepat pelaksanaan pelbagai projek pembangunan serta inisiatif kebajikan rakyat, khususnya dalam aspek bekalan air, infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan pembangunan luar bandar.
Beliau berkata, Wanita Gagasan Rakyat akan terus menyokong segala usaha bagi memastikan peruntukan yang diterima dimanfaatkan secara telus, berkesan dan memberi impak langsung kepada rakyat Sabah.
“Hak Sabah terus diperjuangkan, kebajikan rakyat terus diutamakan,” katanya.

