Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Kejayaan MRSM Ranau buktikan potensi besar anak-anak Sabah bersaing di peringkat nasional :Masidi

PENGHARGAAN: Pamela Joseph menyampaikan cenderamata kepada Masidi Manjun sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap pembangunan pendidikan di Ranau. Turut kelihatan Pengetua MRSM Ranau, Ismail Badri (lima dari kanan), bersama ahli rombongan.

KOTA KINABALU:Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau dinobatkan sebagai Institusi Pendidikan MARA Terbaik 2026 sempena Hari Anugerah Pendidik MARA 2026 peringkat kebangsaan, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai institusi pendidikan cemerlang negara.

Timbalan Ketua Menteri II Sabah merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada MRSM Ranau atas kejayaan tersebut, yang menurutnya membuktikan bahawa anak-anak Sabah mampu mencapai kecemerlangan di peringkat tertinggi apabila diberikan akses kepada pendidikan berkualiti serta sokongan berterusan daripada semua pihak.

Pengiktirafan itu diberikan susulan kecemerlangan MRSM Ranau dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, meletakkan institusi berkenaan sebagai MRSM terbaik di Borneo dalam kalangan sembilan MRSM di Sabah dan Sarawak, serta antara empat MRSM terbaik daripada 57 MRSM di seluruh negara.

“Kerajaan Negeri amat berbangga dengan pencapaian ini kerana ia mencerminkan potensi besar anak-anak Sabah untuk bersaing dan berjaya di peringkat nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Badan Pemuafakatan Malaysia Cawangan MRSM Ranau yang diketuai Yang Dipertuanya, Pamela Joseph, bersama Pengetua MRSM Ranau, Ismail Badri, serta rombongan di pejabatnya, baru-baru ini.

Menurut Masidi, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha bersepadu pihak pengurusan, warga pendidik, para pelajar serta sokongan padu ibu bapa melalui Badan Pemuafakatan Malaysia.

Beliau berharap pencapaian MRSM Ranau menjadi pemangkin kepada institusi pendidikan lain di Sabah untuk terus mempertingkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kepimpinan pelajar.

Masidi turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) atas komitmen berterusan menyediakan pendidikan berkualiti serta melahirkan modal insan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada pembangunan Sabah dan negara.

Sementara itu, Ismail merakamkan penghargaan kepada Masidi atas sokongan dan keprihatinan beliau terhadap pembangunan pendidikan, khususnya di daerah Ranau.

Beliau berkata, sokongan yang diberikan kerajaan negeri menjadi pemangkin kepada institusi pendidikan untuk terus meningkatkan prestasi akademik serta melahirkan pelajar yang cemerlang, berdaya saing dan berakhlak mulia. “Anugerah Institusi Pendidikan MARA Terbaik 2026 ini adalah hasil usaha kolektif semua pihak, termasuk warga pendidik, ibu bapa, pelajar serta sokongan berterusan daripada kepimpinan negeri,” katanya.

Exit mobile version