Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Keharmonian Sabah perlu terus dihargai :Julita

PERPADUAN: Julita menyantuni masyarakat setempat sempena Sambutan Pesta Kaamatan di Matunggong.

MATUNGGONG: Rakyat Sabah diseru agar terus menghargai keharmonian dan perpaduan yang dinikmati selama ini kerana tidak semua negara berbilang kaum mampu mengekalkan suasana aman serta saling menghormati seperti di negeri ini.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, masyarakat Sabah mempunyai keistimewaan tersendiri kerana rakyatnya hidup dalam suasana harmoni walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama.

Menurutnya, rakyat Sabah melihat antara satu sama lain sebagai saudara tanpa mengira latar belakang bangsa dan kepercayaan.

“Kita di Sabah biasanya memandang orang sebagai orang, sebagai saudara, bukan melihat kepada bangsanya. Itulah kelebihan kita yang perlu kita jaga dan pertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kecil Matunggong di sini, pada Sabtu.

Julita berkata, rakyat tidak boleh memandang ringan nilai perpaduan kerana terdapat negara lain yang pernah mengalami konflik dan pergolakan akibat perpecahan dalam masyarakat.

Katanya, keharmonian yang kukuh dalam kalangan rakyat juga memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara sekali gus membolehkan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Dalam pada itu, beliau berkata sambutan Pesta Kaamatan menjadi contoh terbaik bagaimana rakyat Sabah mampu meraikan kepelbagaian budaya dalam suasana aman dan harmoni.

Menurutnya, tema Kaamatan tahun ini iaitu ‘Menuai Perpaduan, Merayakan Keharmonian’ amat bertepatan dengan identiti masyarakat Sabah yang hidup saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain. Sementara itu, pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Daerah Kecil Matunggong 2026 menyaksikan Crizzelbellkah Lorris dinobatkan sebagai johan, diikuti Wiwielian Phang sebagai naib johan manakala Ellyzzie Casey Epson meraih tempat ketiga.

Exit mobile version