KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa menambah baik pelaksanaan BUDI MADANI Diesel di Sabah, termasuk mempertimbangkan peningkatan kuota berdasarkan keluasan negeri, jarak perjalanan serta tahap kebergantungan rakyat terhadap bahan api itu.
Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda berkata, pelaksanaan subsidi diesel perlu mengambil kira realiti geografi, taburan penduduk serta keperluan sektor pertanian, perikanan dan ekonomi luar bandar yang menjadi nadi kehidupan sebahagian besar rakyat Sabah.
Menurutnya, keadaan Sabah berbeza daripada negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, khususnya dari segi jarak perjalanan, akses pengangkutan awam, bentuk muka bumi dan kebergantungan masyarakat luar bandar terhadap kenderaan serta peralatan berasaskan diesel.
“Pelaksanaan subsidi diesel perlu mengambil kira keadaan geografi, taburan penduduk serta keperluan sektor pertanian, perikanan dan ekonomi luar bandar Sabah.
“Rakyat Sabah memerlukan mekanisme yang bukan sekadar adil di atas kertas, tetapi benar-benar adil dalam realiti kehidupan harian mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Redonah berkata, selain peningkatan kuota, kerajaan turut perlu meneliti semula proses pendaftaran, syarat kelayakan dan kaedah pengagihan BUDI Diesel supaya tidak membebankan petani, nelayan, pekebun, pengusaha kecil dan masyarakat pedalaman yang bergantung kepada bahan api itu untuk mencari rezeki.
Katanya, sebarang kelemahan dalam mekanisme pelaksanaan boleh menyebabkan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan tercicir, sekali gus memberi kesan kepada kos operasi, pendapatan dan harga barangan.
Beliau menegaskan bahawa Wanita Gagasan Rakyat akan terus menyokong usaha kerajaan negeri dalam mempertahankan kepentingan rakyat Sabah, khususnya dalam isu subsidi yang memberi kesan langsung terhadap kos sara hidup dan kelangsungan ekonomi luar bandar.
Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat, Senator Datuk Anna Bell Perian, menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, yang mengarahkan semakan terperinci terhadap pelaksanaan BUDI Diesel di negeri ini.
Beliau berkata, sokongan terhadap prinsip subsidi bersasar tidak bermakna mekanisme sedia ada tidak boleh diperbaiki.
Sebaliknya, katanya, pelaksanaan dasar berkenaan perlu disesuaikan dengan keadaan setempat supaya bantuan benar-benar sampai kepada kumpulan sasar yang layak dan tidak menimbulkan beban baharu kepada rakyat.
“Pelaksanaan subsidi bersasar tidak ditolak, namun mekanismenya perlu disesuaikan dengan realiti Sabah supaya bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang berhak.
“Semakan yang diarahkan Ketua Menteri merupakan langkah tepat dan wajar dipercepatkan bagi menangani isu yang dibangkitkan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Anna Bell berkata, pendekatan satu mekanisme untuk semua negeri tidak semestinya sesuai kerana setiap wilayah mempunyai keperluan, struktur ekonomi dan cabaran geografi yang berbeza.
Katanya, penambahbaikan terhadap pelaksanaan BUDI Diesel akan memastikan matlamat subsidi bersasar dapat dicapai tanpa menjejaskan golongan yang amat bergantung kepada diesel dalam menjalankan aktiviti ekonomi harian.
Menurutnya, dasar awam yang baik bukan sahaja perlu tersusun dari segi pentadbiran, tetapi mesti praktikal, adil dan berkesan apabila dilaksanakan di lapangan.
Wanita Gagasan Rakyat berpandangan bahawa penambahbaikan terhadap kuota, syarat kelayakan dan mekanisme pengagihan BUDI Diesel akan membantu mengurangkan beban rakyat, memelihara ekonomi luar bandar serta memastikan pelaksanaan subsidi bersasar benar-benar mencapai matlamatnya.

