KOTA KINABALU:Ekonomi Sabah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus pada 2025, prestasi terbaik dalam tempoh enam tahun, dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah RM88.8 bilion.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pertumbuhan itu disokong prestasi positif beberapa sektor utama — termasuk pembinaan yang berkembang sebanyak 28.3 peratus, pembuatan (5.0 peratus) dan perkhidmatan (4.5 peratus).
Menurutnya, pencapaian berkenaan mencerminkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri yang semakin kukuh dan perlu dimanfaatkan bagi memperluas peluang perniagaan, pelaburan serta pekerjaan kepada rakyat Sabah.
“Sabah mempunyai momentum pertumbuhan yang kukuh. Tugas kita sekarang adalah untuk menterjemahkan momentum ini kepada perniagaan tempatan yang lebih berdaya saing, industri bernilai tinggi, peluang pekerjaan yang lebih baik serta lebih banyak peluang kepada masyarakat di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian program Kembara Borneo 2026 Edisi Sabah anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di Magellan Sutera Harbour Resort, pada Rabu di sini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Hajiji berkata, usaha memperkukuh momentum ekonomi itu menjadi antara keutamaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, dengan penekanan terhadap peningkatan daya saing, produktiviti dan penciptaan nilai ekonomi yang lebih tinggi.
Menurutnya, jika SMJ 1.0 memberi tumpuan kepada pemulihan, penstabilan dan penstrukturan semula ekonomi selepas pandemik, SMJ 2.0 pula bertujuan memperkukuh asas pembangunan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat.
Beliau berkata, siling peruntukan pembangunan berjumlah RM12.02 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) — yang tertinggi dalam sejarah Sabah, melibatkan 933 projek baharu dan 240 projek sambungan — dijangka terus memperkukuh daya saing negeri serta menarik lebih banyak pelaburan.
“Aspirasi kita bukan sekadar menarik perniagaan untuk melabur di Sabah. Kita juga mahu membantu syarikat-syarikat yang berpangkalan di Sabah berkembang menjadi peneraju di peringkat nasional, serantau dan global,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata Sabah mempunyai potensi ekonomi yang besar dalam sektor pertanian, Ekonomi Biru dan industri hiliran — disokong kekayaan sumber asli, biodiversiti serta kedudukan strategiknya di rantau Borneo.
Menurutnya, sektor Ekonomi Biru khususnya menawarkan peluang pertumbuhan dalam bidang perikanan moden, bioteknologi marin dan pelancongan berasaskan alam semula jadi, dengan potensi menjana pendapatan tambahan sehingga RM3.25 bilion setahun di bawah SMJ 2.0.
Beliau berkata, sektor pertanian pula perlu beralih kepada kaedah pengeluaran moden dan bernilai tinggi menerusi penggunaan teknologi bagi meningkatkan produktiviti serta memperkukuh keterjaminan makanan.
Bagaimanapun, beliau berkata peningkatan pengeluaran semata-mata tidak mencukupi tanpa usaha memperluas aktiviti hiliran, pemindahan teknologi, inovasi dan pembangunan kemahiran yang membolehkan lebih banyak nilai ekonomi dikekalkan di Sabah.
Hajiji turut menekankan kepentingan memperluas akses pembiayaan kepada perusahaan tempatan bagi membantu mereka meningkatkan kapasiti, mengembangkan operasi dan menembusi pasaran lebih luas.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan usaha SC memperkenalkan pelbagai pilihan pembiayaan, termasuk pendanaan ramai berasaskan ekuiti, pembiayaan antara rakan setara (P2P), pelaburan bersama, modal swasta dan pasaran saham.
Beliau turut menghargai pelaksanaan Skim Keterjaminan Makanan di bawah Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF), yang menyediakan pelaburan bersama sebanyak RM1 bagi setiap RM2 diperoleh daripada pelabur swasta untuk menyokong perniagaan dalam sektor pertanian, teknologi pertanian dan bioekonomi.
Menurutnya, kemudahan pembiayaan yang bersesuaian amat penting bagi membantu perkembangan perusahaan dalam bidang pemprosesan hiliran, teknologi pertanian, akuakultur dan logistik maritim.
Pada masa sama, Hajiji menggesa usahawan Sabah memperkukuh pengurusan kewangan, tadbir urus korporat dan perancangan perniagaan supaya lebih bersedia menarik minat pelabur.
“Mulakan persediaan dari sekarang untuk mendapatkan modal yang ingin anda kumpulkan. Pastikan rekod kewangan diselenggara dengan baik serta perkukuh tadbir urus dan pengurusan perniagaan.
“Bersedialah untuk menjelaskan bagaimana perniagaan anda menjana pendapatan, bagaimana dana yang diperoleh akan digunakan dan bagaimana risiko akan diuruskan. Pelabur perlu memahami perniagaan anda sebelum mereka dapat memberikan sokongan,” katanya.
Beliau turut mengajak pelabur dan penyedia pembiayaan meneroka peluang pelaburan dalam sektor pertanian, pemprosesan makanan, akuakultur, perkilangan serta pelancongan di Sabah.
Hajiji berkata, kedudukan strategik Sabah berhampiran Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina turut membuka peluang lebih luas kepada negeri itu untuk berkembang sebagai pintu masuk perdagangan, pelaburan dan pelancongan dalam kawasan BIMP-EAGA serta ASEAN. “Sabah mempunyai sumber, kedudukan strategik, usahawan dan aspirasi yang besar. Kini, kita perlu memperkukuh hubungan antara perniagaan tempatan dengan modal, keupayaan dan kerjasama strategik yang diperlukan untuk mereka terus berkembang,” katanya.

