Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Julita seru bapa luang lebih banyak masa berkualiti bersama anak-anak

PERASMIAN: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki (dua kanan) menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Sabah 2026 bertemakan "Sehebat Kasih Bapa" di Penampang, Jumaat.

PENAMPANG: Ibu bapa, khususnya golongan bapa, diseru agar meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama anak-anak kerana kehadiran mereka memainkan peranan penting dalam perkembangan emosi, pembentukan sahsiah serta kesejahteraan institusi keluarga.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, berkata peranan seorang bapa bukan sekadar sebagai pencari nafkah, sebaliknya turut berfungsi sebagai pembimbing, pelindung dan teladan dalam membentuk nilai murni, disiplin serta keyakinan diri anak-anak.

Menurut beliau, kasih sayang seorang bapa lazimnya dizahirkan melalui pengorbanan, komitmen dan tanggungjawab terhadap keluarga walaupun tidak semestinya dilafazkan dengan kata-kata.

“Ambillah peluang dan tanggungjawab untuk sentiasa hadir dalam kehidupan anak-anak, bukan sahaja sebagai penyedia keperluan material, tetapi juga sebagai sumber sokongan emosi, pembimbing dan inspirasi kepada mereka setiap hari.

“Anak-anak belajar melalui pemerhatian. Jika kita mahu melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berdisiplin dan berdaya tahan, perubahan itu perlu bermula daripada ibu bapa sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Sabah 2026 bertemakan “Sehebat Kasih Bapa”, di sini, Jumaat.

Dalam pada itu, Julita menggalakkan golongan bapa supaya saling memberi sokongan antara satu sama lain dalam mendepani cabaran kehidupan dan tanggungjawab keibubapaan agar mereka dapat terus memimpin keluarga dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) akan terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai agensi, termasuk Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), dalam memperkasakan institusi kekeluargaan menerusi pelbagai program pendidikan keibubapaan, pembangunan komuniti dan sokongan kepada keluarga. “Saya berharap tema Sehebat Kasih Bapa menjadi inspirasi kepada seluruh masyarakat untuk terus menghargai jasa, pengorbanan dan peranan seorang bapa dalam membina keluarga yang bahagia, harmoni dan sejahtera,” katanya.

Exit mobile version