KOTA KINABALU: Semua ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) digesa terus mengekalkan perpaduan dan kestabilan dalam parti ketika bersiap sedia menghadapi pemilihan kepimpinan serta cabaran pilihan raya pada masa hadapan.
Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Julita Majungki berkata, setiap ahli memikul tanggungjawab bersama untuk memelihara semangat persaudaraan yang menjadi tunjang kekuatan PBS sejak penubuhannya.
Menurutnya tahun ini merupakan tempoh penting bagi parti kerana pemilihan kepimpinan akan berlangsung di peringkat bahagian di seluruh negeri.
“Dalam kita melalui proses memperbaharui kepimpinan parti, kita perlu sentiasa mengingat tanggungjawab yang lebih besar, iaitu memelihara parti yang telah diwariskan oleh pemimpin terdahulu,” katanya semasa berucap pada Sambutan Ulang Tahun ke-41 PBS, di sini pada Khamis
Beliau menegaskan bahawa kestabilan dan perpaduan dalam parti amat penting bagi memastikan PBS kekal kukuh dan bersedia menghadapi cabaran politik pada masa akan datang.
Pada masa sama, Julita turut menggalakkan ahli-ahli muda untuk tampil ke hadapan dan memikul peranan kepimpinan dalam parti, bermula daripada peringkat cawangan dan bahagian sebelum melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa pemimpin muda perlu memahami serta menghayati nilai dan prinsip yang menjadi asas perjuangan PBS.
Menurutnya, prinsip itu telah dibentuk oleh pemimpin awal parti termasuk Pengasasnya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili, yang terus menjadi panduan kepada hala tuju parti hingga hari ini.
“Sebagai pemimpin muda yang bercita-cita untuk memimpin, adalah penting untuk kita memahami DNA parti yang telah diasaskan oleh pemimpin terdahulu,” katanya. Beliau menambah bahawa ahli parti perlu sentiasa bersatu dan bersedia mempertahankan perjuangan PBS serta kepentingan Sabah dan rakyatnya, khususnya ketika landskap politik terus berkembang.
–TAMAT

