Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Joniston optimis Kiulu kekal bersama GRS

KENANGAN: Joniston semasa dalam siri kempen beliau di DUN Kiulu.

KIULU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, menzahirkan keyakinan bahawa sokongan pengundi kekal kukuh menjelang hari pengundian, dengan majoriti rakyat mahu kesinambungan pembangunan diteruskan di kawasan berkenaan.

Joniston berkata demikian selepas menutup siri kempen pilihan rayanya di dua perkampungan terpencil, Kampung Tudan dan Kampung Gonipis, yang menyaksikan sambutan memberangsangkan daripada penduduk setempat.

“Dalam setiap pertemuan bersama rakyat, mesej yang kami terima jelas iaitu pengundi Kiulu mahukan kesinambungan agar pembangunan yang sedang dilaksanakan tidak tergendala.

“Sokongan dan sambutan di lapangan memberi keyakinan bahawa usaha serta hala tuju yang dibawa benar-benar difahami dan dirasai rakyat,” katanya ketika ditemui di sini.

Di Kampung Tudan, ketibaan Joniston disambut dengan konvoi motosikal dari simpang utama menuju lokasi program, yang dianjurkan penduduk sebagai tanda sokongan akar umbi, termasuk daripada golongan belia.

Menurut beliau, sepanjang penggal lalu, pelbagai inisiatif pembangunan telah dilaksanakan di Kiulu, termasuk pembukaan dan penaiktarafan jalan kampung serta jalan pertanian, pembangunan eko-pelancongan dan pelancongan berasaskan komuniti, pendigitalan data kawasan, penyelenggaraan kemudahan asas serta usaha mewujudkan peluang ekonomi baharu untuk penduduk setempat.

Bagaimanapun, Joniston menegaskan masih terdapat beberapa keperluan yang perlu diperkukuh, antaranya pembukaan lebih banyak jalan pertanian, penyiapan bangunan Urusetia Daerah Kecil Kiulu serta peningkatan liputan dan capaian rangkaian internet.

“Kita sudah bergerak ke hadapan, namun kerja belum selesai. Matlamat saya adalah memastikan Kiulu terus maju dan tidak perlu bermula dari kosong,” katanya.

Beliau berkata pilihan raya kali ini akan menjadi penentu sama ada pembangunan sedia ada dapat diteruskan secara konsisten dan tersusun, selari dengan agenda pembangunan negeri di bawah kepimpinan GRS.

“Kiulu akan memainkan peranan penting menyumbang kepada kemenangan besar GRS bagi membolehkan agenda pembangunan negeri diteruskan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

— TAMAT

Exit mobile version