RANAU: Keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk kekal menjadi asas kekuatan Sabah yang perlu terus dipelihara oleh semua lapisan rakyat.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam berkata, rakyat negeri ini perlu terus mengamalkan sikap saling menghormati serta hidup bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama.
Menurutnya, kepelbagaian budaya dan kepercayaan yang diamalkan sejak sekian lama telah membentuk hubungan erat dalam kalangan masyarakat, termasuk ikatan kekeluargaan merentasi agama yang menjadi keunikan Sabah.
“Apabila tiba Krismas kita saling menjemput, begitu juga ketika Hari Raya. Amalan ini perlu diteruskan kerana perbezaan agama tidak seharusnya menjadi pemisah, sebaliknya memperkukuh perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Silaturahim Hari Raya Aidilfitri di Mini Dewan Timbua, di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Datuk Arthur Sen; Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggang; serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kundasang, Dounis Sany.
Dalam pada itu, Joachim berkata penganjuran majlis seumpama itu bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah memberi peluang kepada beliau untuk bertemu dan mendengar sendiri pandangan rakyat selepas pilihan raya lalu.
“Saya menyedari cabaran dalam portfolio baharu ini, namun saya komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau turut menyeru pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang menerima watikah pelantikan agar melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi serta sentiasa peka terhadap tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat.
Selain itu, beliau mengucapkan tahniah kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, sambil mengingatkan mereka yang kurang berjaya agar tidak berputus asa dan terus berusaha.
“Perjalanan hidup masih panjang, teruskan usaha untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memupuk perpaduan, menghargai kecemerlangan pendidikan serta memperkukuh kepimpinan di peringkat akar umbi.
Terdahulu, Pengerusi penganjur, Fadzil Anthony merakamkan penghargaan kepada penduduk yang hadir serta memuji semangat gotong-royong dalam menjayakan program tersebut.
Dalam program itu, Joachim turut menyampaikan sumbangan kepada 11 anak yatim berusia 12 tahun ke bawah, hadiah penghargaan kepada 10 pelajar cemerlang SPM 2025 dari SMK Timbua, watikah pelantikan kepada 11 Pengerusi JKKK Mukim Timbua dan Pinawantai, serta sumbangan sayur-sayuran dari tanah tinggi Kundasang kepada penduduk setempat.

