Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Joachim komited percepat pembangunan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat Sabah

Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam mempengerusikan sesi taklimat pertama bersama barisan pengurusan tertinggi Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah selepas memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah.

KOTA KINABALU: Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam menzahirkan komitmen tinggi untuk mempercepat dan memperkukuh pembangunan infrastruktur di seluruh negeri bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan rakyat.

Beliau berkata, keutamaan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) adalah memastikan kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan projek yang lebih cekap, tersusun dan berimpak tinggi, sejajar dengan aspirasi pembangunan negeri.

“Penyampaian yang cekap bukan hanya bergantung kepada perancangan yang rapi, tetapi juga memerlukan koordinasi berterusan di setiap peringkat pelaksanaan.

“Saya menekankan kepentingan kerjasama berpasukan yang kukuh antara semua jabatan dan agensi di bawah kementerian ini bagi menjamin kejayaan projek pembangunan infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sesi taklimat menyeluruh pertama bersama pengurusan tertinggi KKRU, Selasa lalu, beberapa hari selepas memulakan tugas rasmi di kementerian itu pada 3 Disember.

Ketibaan Joachim ke ibu pejabat KKRU disambut oleh dua Timbalan Menteri, Datuk Limus Jury dan Datuk Sri Ruddy Awah, Setiausaha Tetap KKRU Datuk Ridhwan Roger Linus serta Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan), Jasni Abu Suffyan Omar.

Turut hadir ialah para pengarah jabatan dan pegawai kanan kementerian sebelum beliau menjalani proses pendaftaran biometrik sebagai simbol rasmi permulaan tugas baharu.

Sesi taklimat berkenaan turut disertai pengurusan tertinggi Jabatan Kerja Raya Sabah, Jabatan Air Negeri Sabah, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah, Sabah Electricity serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Taklimat itu merangkumi keseluruhan fungsi teras KKRU termasuk penyelenggaraan dan penaiktarafan jalan raya, penambahbaikan kemudahan awam serta perancangan, penyelarasan dan pengurusan utiliti asas melibatkan bekalan air dan elektrik.

Selain itu, setiap jabatan turut membentangkan hala tuju strategik serta keutamaan pelaksanaan projek bagi tahun mendatang, selaras dengan agenda pembangunan negeri.

Pelantikan Joachim sebagai Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah dijangka memberi nafas baharu kepada usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan asas serta mempercepat pelaksanaan agenda pembangunan secara lebih tersusun dan berkesan.

Dalam masa sama, peranannya sebagai Timbalan Ketua Menteri I dijangka memperkukuh penyelarasan antara kementerian bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat digerakkan secara menyeluruh dan berfokus.

KKRU memikul tanggungjawab besar dalam memastikan kemudahan asas berada pada tahap terbaik, khususnya di kawasan luar bandar yang masih memerlukan perhatian berterusan.

Melalui pendekatan kepimpinan yang menekankan kerjasama, ketelusan dan kecekapan, kementerian itu disasar mampu meningkatkan keberkesanan pelaksanaan projek demi kesejahteraan rakyat Sabah.

— TAMAT

Exit mobile version