KOTA KINABALU:Penerangan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul bin Ibrahim, di pejabat beliau di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Delegasi berkenaan diketuai Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Belynda Buntot, bagi memperkukuh kerjasama strategik antara jentera penerangan wanita dan Pejabat Ketua Menteri.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Penerangan Wanita GRS, Julia @ Lailawati Datuk Ahmad Bahrom Titingan.
Belynda berkata, kunjungan itu bertujuan memperkasa peranan penerangan sebagai nadi penting parti, khususnya dalam memastikan penyampaian maklumat kerajaan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
“Sebagai jentera komunikasi utama, Penerangan Wanita GRS berperanan menyampaikan dasar dan polisi kerajaan, selain memperluaskan hebahan berkaitan inisiatif serta bantuan kepada rakyat di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, Pejabat Ketua Menteri sebagai sumber maklumat rasmi kerajaan turut memainkan peranan penting dalam memastikan penyampaian maklumat yang tepat, jelas dan berkesan kepada masyarakat.
Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana mesra dan produktif, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan.
Dalam kunjungan berkenaan, Penerangan Wanita GRS turut menyampaikan cenderamata kepada Azrul sebagai tanda penghargaan. Kunjungan ini menjadi langkah penting dalam memperkukuh jentera penerangan Wanita GRS sebagai barisan hadapan penyampai maklumat kerajaan, sekali gus memperteguh keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negeri.

