KUNAK:Semangat perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kunak terus membara menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 apabila jentera parti menunjukkan kesediaan dan kekuatan luar biasa dalam perjumpaan yang diadakan baru-baru ini.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif, berkata pertemuan tersebut dihadiri dengan semangat juang yang tinggi, mencerminkan iltizam semua jentera untuk memastikan kemenangan GRS di kawasan itu.
“Alhamdulillah, kehadiran jentera GRS Kunak begitu luar biasa, melebihi kapasiti dewan yang hanya mampu menampung sekitar 180 orang pada satu-satu masa.
Ini membuktikan kesungguhan dan kesatuan kita untuk memastikan kemenangan dalam PRN17 nanti,” katanya.
Menurut Norazlinah, perjumpaan itu turut memberi fokus kepada analisis data, strategi pilihan raya dan pembahagian peranan setiap lapisan jentera, termasuk golongan muda dan anggota berpengalaman.
“Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab dan peranan yang besar.
Inilah perjuangan untuk rumah kita — Kunak Kita!” tegasnya.
Beliau turut menekankan pentingnya rakyat Kunak untuk terus bersatu dan tidak terpengaruh dengan dakyah pihak luar yang cuba memecahbelahkan perpaduan masyarakat tempatan.
Selepas sesi perjumpaan tersebut, program diteruskan dengan majlis santai ‘Ngopi Sambil Ukhwah’ di Pasar Malam Zainal Gunong, yang menjadi platform mempererat hubungan antara pemimpin dan rakyat.
— TAMAT

