Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Jenayah scam ancam semua golongan, masyarakat perlu lebih peka :Juliah

PENGHARGAAN: Juliah menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta program sebagai simbolik sokongan terhadap usaha memperkukuh kesedaran masyarakat dalam membanteras jenayah scam.

TUARAN: Kesedaran dan literasi digital dalam kalangan masyarakat perlu terus diperkukuhkan bagi membendung jenayah penipuan dalam talian yang semakin licik dan membimbangkan.

Isteri Ketua Menteri Sabah merangkap Yang Dipertua MUTIARA GRS, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag berkata, masyarakat yang mempunyai ilmu, sentiasa berwaspada dan mampu menilai kesahihan maklumat merupakan benteng terbaik dalam usaha memerangi jenayah scam.

Beliau berkata, perkembangan pesat teknologi digital sememangnya membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat, namun pada masa sama turut membuka ruang kepada sindiket penipuan untuk memperdaya mangsa melalui pelbagai taktik dan modus operandi.

“Hari ini, hampir semua urusan harian seperti perbankan, pembelian, pembayaran bil dan komunikasi dilakukan secara dalam talian. Namun, di sebalik kemudahan itu, kita berdepan peningkatan kes scam yang semakin licik dan sukar dikesan.

“Lebih membimbangkan, mangsa bukan sahaja terdiri daripada golongan warga emas, malah melibatkan golongan profesional, penjawat awam, usahawan, pelajar dan suri rumah. Ini menunjukkan bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi sasaran sekiranya tidak mempunyai pengetahuan dan kesedaran yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran Anti-Scam bertemakan ‘Komuniti Bijak, Bebas Scammer’ di sini, Sabtu.


𝗟𝗲𝗯𝗶𝗵 𝟭,𝟬𝟬𝟬 𝗣𝗲𝘀𝗲𝗿𝘁𝗮 𝗦𝗲𝗿𝘁𝗮𝗶 𝗣𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺 𝗔𝗻𝗷𝘂𝗿𝗮𝗻 𝗕𝗲𝗿𝘀𝗮𝗺𝗮
Program anjuran bersama Pejabat Daerah Tuaran, Persatuan Nadi Kasih, MUTIARA GRS, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Jabatan Pemulihan Dadah Tuaran itu berjaya menghimpunkan lebih 1,000 peserta terdiri daripada pelajar dari daerah Tuaran dan Kota Kinabalu serta komuniti setempat.

Turut hadir Pegawai Daerah Tuaran, Ibrahim Turki; Pengerusi Persatuan Permuafakatan PPD Tuaran, Datuk George Teo; Ketua Polis Daerah Tuaran, Supt. Noraidin Ag Maidin; serta Pengerusi Persatuan Nadi Kasih, Puan Noorziah Mastan selaku penggerak utama program berkenaan.

KESEDARAN ANTI-SCAM: Program Kesedaran Anti-Scam bertemakan “Komuniti Bijak, Bebas Scammer” berjaya menghimpunkan lebih 1,000 peserta terdiri daripada pelajar dari Tuaran dan Kota Kinabalu serta komuniti setempat di Tuaran, pada Sabtu.


𝗠𝗮𝘀𝘆𝗮𝗿𝗮𝗸𝗮𝘁 𝗕𝗶𝗷𝗮𝗸 𝗦𝗲𝗻𝘁𝗶𝗮𝘀𝗮 𝗕𝗲𝗿𝘄𝗮𝘀𝗽𝗮𝗱𝗮, 𝗕𝗲𝗿𝗳𝗶𝗸𝗶𝗿 𝗦𝗲𝗯𝗲𝗹𝘂𝗺 𝗕𝗲𝗿𝘁𝗶𝗻𝗱𝗮𝗸
Juliah berkata, program seumpama itu amat penting dalam memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai kaedah mengenal pasti modus operandi scammer serta langkah-langkah pencegahan yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, tema “Komuniti Bijak, Bebas Scammer” membawa mesej jelas bahawa masyarakat yang bijak ialah masyarakat yang sentiasa berwaspada, berfikir sebelum bertindak dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran yang terlalu lumayan atau meragukan.

“Sebagai ibu bapa, kita perlu mendidik anak-anak menggunakan teknologi secara bijak dan selamat. Sebagai pemimpin masyarakat, kita perlu menyebarkan maklumat yang sahih kepada komuniti.

“Sebagai pengguna media sosial pula, kita harus mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak pasti kesahihannya. Apabila masyarakat mempunyai ilmu dan kesedaran yang tinggi, ruang untuk scammer memperdayakan mangsa akan menjadi semakin sempit,” katanya.

𝗣𝗲𝗻𝗴𝗵𝗮𝗿𝗴𝗮𝗮𝗻 𝗸𝗲𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗣𝗶𝗵𝗮𝗸 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗻𝗷𝘂𝗿
Juliah turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Nadi Kasih Tuaran, Pejabat Daerah Tuaran, para penceramah, panel forum, agensi yang terlibat serta seluruh jawatankuasa pelaksana atas komitmen menjayakan program tersebut. “Semoga usaha murni ini menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih selamat, berpengetahuan dan sejahtera,” katanya.

Exit mobile version