TAWAU: Program Jelajah Ramadan yang dilaksanakan saban tahun terus menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat selain mengimarahkan bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti keagamaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pendekatan turun padang menerusi majlis berbuka puasa, solat berjemaah dan solat tarawih bersama komuniti memberi ruang kepada pemimpin mendekati rakyat secara lebih dekat.
Beliau berkata, program anjuran Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas bersama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Apas itu bertujuan memupuk semangat kebersamaan dan memperkukuh ukhuwah sepanjang Ramadan.
“Alhamdulillah, kita masih diberi kesempatan menunaikan ibadah puasa dan bersama masyarakat mengimarahkan masjid.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, kita melaksanakan jelajah Ramadan di seluruh kawasan Apas, dan kali ini dimulakan di Masjid Kampung Titingan Babul Khair sebelum diteruskan ke pusat daerah mengundi (PDM) lain,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih bersama penduduk Kampung Titingan, di sini, pada Ahad.
Menurutnya, selain merapatkan silaturahim, program tersebut menjadi platform bagi pemimpin mendapatkan maklum balas secara terus mengenai isu dan keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Pendekatan ini penting kerana kita dapat memahami sendiri kekangan yang dihadapi rakyat sebelum mengambil tindakan atau mencari penyelesaian yang bersesuaian.
“Dengan komunikasi dua hala yang berkesan, permasalahan dapat ditangani secara lebih tepat dan menyeluruh,” katanya.
Mengulas kepentingan program seumpama itu dalam memastikan keharmonian negeri terus terpelihara, beliau berkata interaksi berterusan antara pemimpin dan rakyat mampu memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Katanya, amalan berbuka puasa dan beraktiviti bersama komuniti bukan sekadar tradisi tahunan, malah menjadi medium memupuk toleransi serta persefahaman demi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan.
Dalam program sama, sumbangan turut disampaikan kepada pusat kelas KAFA dan pusat tahfiz di Blok 5 Laut Kampung Titingan sebagai tanda sokongan terhadap usaha membimbing serta mendidik generasi muda mendalami al-Quran. Beliau berharap bantuan tersebut dapat memberi manfaat dan menyuntik semangat kepada pihak pengurusan untuk terus memperkukuh program pendidikan agama demi kebaikan anak-anak setempat.
–TAMAT

