Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Jeffrey nafi STAR gadai prinsip, tegas sokong GRS demi kestabilan

Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan menegaskan parti itu tidak pernah menggadaikan prinsip perjuangannya apabila menyokong pembentukan kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Beliau berkata, keputusan STAR dibuat berdasarkan mandat majoriti ahli parti, ketua-ketua bahagian serta Majlis Tertinggi parti yang mahu melihat Sabah terus stabil dan pentadbiran negeri berjalan lancar.

“GRS mencadangkan pembentukan kerajaan perpaduan demi kestabilan politik dan STAR menyokong kerana itu juga hasrat rakyat selepas pilihan raya tamat. Kini masa untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya sebagaimana dilapor Harian Ekspres.

Jeffrey menegaskan STAR kekal komited memperjuangkan hak serta kepentingan Sabah sama ada berada dalam kerajaan mahupun pembangkang.

“Kami tidak berada dalam GRS, namun membantu membentuk kerajaan perpaduan kerana itu kehendak rakyat berdasarkan keputusan pilihan raya,” katanya.

Terdahulu, pimpinan STAR termasuk calon-calon PRN lalu menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Presiden selepas sesi penjelasan berkaitan hala tuju parti, kekangan kewangan serta cabaran operasi sepanjang kempen.

Sebahagian calon turut mengakui wujud cabaran politik wang yang memberi kesan kepada landskap demokrasi, namun memberi jaminan akan terus setia mendukung kepimpinan dan memperkukuh kehadiran parti di peringkat akar umbi.

Jeffrey turut mengingatkan bahawa STAR akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemimpin atau ahli yang bertindak di luar keputusan parti.

Turut hadir pada mesyuarat itu Bendahari Agung STAR Sabah merangkap Ketua Bahagian Api-Api, Raffie Shakir. Mesyuarat berkenaan dilihat sebagai langkah penting memperkukuh perpaduan dalaman serta menyeragamkan hala tuju STAR dalam perjuangan membela hak dan masa depan rakyat Sabah.

–TAMAT

Exit mobile version