Site icon Gabungan Rakyat Sabah

Jangan undi ikut emosi, fikir masa depan Sabah: Masidi

Masidi mengingatkan pengundi agar membuat pilihan secara rasional demi kestabilan dan kesinambungan pembangunan Sabah.

RANAU: Pengundi dinasihatkan supaya tidak membenarkan emosi seperti marah, kecewa atau salah faham mempengaruhi keputusan mereka pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah) pada 29 November ini, kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.

Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata pilihan raya adalah soal menentukan hala tuju kerajaan dan masa depan pembangunan Sabah, bukan didorong sentimen peribadi terhadap mana-mana individu.

“Keputusan mengundi bukan tentang kepentingan individu atau perasaan peribadi. Ia membabitkan masa depan kerajaan dan kesinambungan pembangunan negeri di bawah GRS.

“Jangan menolak calon hanya kerana marah atau salah faham. Parti dan kerajaan jauh lebih besar daripada individu,” katanya ketika berucap pada program TITIAN Harmoni bersama calon GRS di Dewan Serbaguna Kampung Viha Lobou Baru, di sini.

Dalam pada itu, Masidi menegaskan bahawa hanya terdapat seorang calon rasmi GRS bagi DUN Kundasang, iaitu Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, sekali gus menolak dakwaan kewujudan calon lain yang kononnya mewakili gabungan berkenaan.

“Tidak wujud istilah calon bebas GRS. GRS sebulat suara menyokong Dr Joachim sebagai calon tunggal di Kundasang. Mana-mana individu yang mendakwa mewakili GRS berbuat demikian tanpa asas,” katanya.

Menurut Masidi, beliau sendiri aktif turun padang membantu kempen dan menyeru pengundi supaya memberikan undi kepada calon rasmi GRS.

“Pilihan raya ini bukan soal memilih siapa lebih muda, lebih popular atau lebih menarik. Ini soal menentukan sama ada GRS terus mentadbir Sabah atau tidak,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengundi yang mempunyai isu atau ketidakpuasan hati terhadap calon agar mengetepikan perasaan tersebut buat sementara waktu demi kepentingan lebih besar.

“Jika ada salah faham kecil, simpan dahulu dan selesaikan selepas pilihan raya. Pada 29 November nanti, persoalan utama ialah sama ada GRS terus membentuk kerajaan atau tidak,” katanya.

Masidi dalam pada itu menggesa pengundi di Karanaan keluar mengundi lebih awal dan memaklumkan bahawa urusan pengangkutan telah diatur bagi memudahkan pergerakan pengundi.

Beliau juga menasihatkan pengundi yang menghadapi masalah penglihatan atau membaca supaya mendapatkan bantuan hanya daripada wakil parti yang dibenarkan di pusat pengundian.

Mengulas mengenai kadar keluar mengundi, Masidi memberi peringatan bahawa peratusan pengundi yang rendah boleh membuka ruang kepada penyelewengan pilihan raya.

“Jika rakyat tidak keluar mengundi, akan ada pihak yang mengambil kesempatan. Sebab itu semua mesti tunaikan tanggungjawab,” katanya.

Mengambil contoh Sarawak, Masidi berkata kesinambungan kerajaan membolehkan pembangunan dilaksanakan secara lebih tersusun, konsisten dan berkesan.

“Sabah tidak akan maju jika kerajaan sentiasa bertukar hanya kerana isu kecil. Jangan keliru, hanya satu calon GRS di Kundasang dan calon itu ialah Dr Joachim Gunsalam,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penyokong atas sokongan berterusan serta menyeru pengundi agar mengundi awal, mengundi dengan yakin dan memastikan kemenangan GRS demi kestabilan dan kemajuan Sabah.

— TAMAT

Exit mobile version