KOTA KINABALU: Hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil tidak wajar terus dilengah-lengahkan dengan alasan teknikal, termasuk keputusan penangguhan pelaksanaan (stay of execution) oleh mahkamah.
Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, menegaskan bahawa rundingan berkaitan perkara itu perlu diteruskan walaupun prosiding perundangan masih berjalan.
Menurutnya, keputusan penangguhan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghentikan usaha mencapai penyelesaian.
“Jangan jadikan keputusan mahkamah sebagai alasan untuk tidak bertindak. Penangguhan tidak bermakna rundingan juga perlu dihentikan.
“Jika ada kesungguhan politik, rundingan mesti diteruskan secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azizah berkata rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama untuk menikmati hak yang sepatutnya, namun ia sering tertangguh atas pelbagai alasan.
Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan menunaikan hak tersebut boleh dianggap sebagai pengabaian terhadap kepentingan rakyat Sabah.
Mengulas isu subsidi diesel yang diperdebatkan oleh segelintir pihak, beliau menolak dakwaan bahawa Sabah dan Sarawak menerima subsidi atas faktor politik semata-mata.
“Itu kenyataan tidak bertanggungjawab. Hakikatnya, hasil minyak datang dari bumi Sabah dan Sarawak, maka tidak wajar dipersoalkan hak negeri ini untuk menerima manfaat,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa sebarang penilaian terhadap keistimewaan Sabah perlu mengambil kira realiti kos sara hidup serta faktor geografi negeri ini.
Dalam perkembangan sama, Azizah berpandangan Sabah wajar diberikan tambahan kerusi Parlimen bagi mencerminkan keluasan negeri serta peningkatan keperluan rakyat.
“Jika mahu berlaku adil, Sabah bukan sahaja perlu mengekalkan 25 kerusi sedia ada, malah wajar ditambah, selaras dengan prinsip perwakilan yang lebih seimbang,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa penambahan kerusi Parlimen itu perlu membuka lebih banyak ruang kepada penyertaan kepimpinan wanita.
Azizah menegaskan bahawa perjuangan menuntut hak Sabah akan terus diteruskan sehingga mencapai keadilan yang sewajarnya.

